Berita

Kerajaan susun lima langkah efektif tangani GISBH

Foto: Youtube Parlimen Malaysia
- Diterbit 18 November 2024 12:52 PM MYT

KERAJAAN menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyusun lima langkah efektif dan berkesan bbagi menangani isu GISBH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia antara lain melibatkan pembentangan kajian dan penyelarasan fatwa di peringkat negeri.

Menurut beliau, untuk itu JAKIM telah membentangkan hasil kajian dan penyelidikan mengenai isu GISBH kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Kali Ke-125 yang diadakan pada September lalu.

“Hasil muzakarah memutuskan GISBH sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Selaras dengan itu sebanyak tujuh negeri memutuskan fatwa pengharaman kumpulan GISBH iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

“Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI juga telah disembah maklum dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-267,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menangani isu GISBH yang telah timbul kembali sejak sekian lama.

Mohd Na’im berkata, berdasarkan penemuan dan siasatan yang dijalankan pihak Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, pengikut GISBH didapati boleh didakwa di bawah beberapa peruntukan meliputi Akta atau Enakmen Perundangan Syariah Negeri-negeri.

Katanya, buat masa ini, beberapa buah JAIN sedang melengkapkan siasatan terhadap orang yang disyaki (OYDS) dalam kalangan ahli GISBH untuk didakwa di Mahkamah Syariah negeri masing-masing.

Menurut beliau, ketika ini, kerajaan telah melancarkan program rehabilitasi secara sukarela kepada seluruh ahli GISBH.

“Pemantauan yang rapi terhadap keseluruhan aktiviti bekas pengikut al-Arqam atau GISBH turut dilaksanakan dan penilaian secara berkala akan dibuat dan dilaporkan terus kepada Jawatankuasa Panel Pakar Akidah JAKIM untuk diteliti dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan berpandangan bahawa fatwa GISBH amat perlu diperjelas dan disebarluaskan kepada seluruh ahli masyarakat.

Ini katanya, bagi memastikan agar tidak timbul salah faham terhadap tindakan yang diambil ke atas GISBH. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas