KERAJAAN Persekutuan menyokong cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan – Sabah dan memerlukan kajian secara menyeluruh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kajian teknikal sedia ada berhubung cadangan berkenaan perlu dikemas kini untuk memberikan gambaran sebenar mengenai keadaan semasa.
“Cadangan jambatan Labuan adalah projek mega yang memerlukan persiapan rapi. Saya dimaklumkan ada kajian teknikal sedia ada yang boleh dijadikan garis panduan.
“Bagaimanapun, pakar telah menyatakan kajian sedia ada tidak boleh digunakan secara menyeluruh dan perlu diperbaiki dan disesuaikan dengan keadaan sekarang.
“Kerajaan memerlukan laporan dan kajian penuh berhubung pembinaan jambatan sebelum ia boleh dimuktamadkan,”katanya semasa Sesi Santai Mesra Bersama Komuniti Labuan di Perkarangan Jabatan Laut Labuan di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Tambah Anwar, perkara tersebut akan dibawa ke Persidangan Jemaah Menteri akan datang.
Pada Mac lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa telah menubuhkan tiga pasukan khas antaranya pasukan khas pembinaan jambatan Labuan- Sabah yang dilihat sebagai satu game changer bagi memacu semula ekonomi Labuan. – WILAYAHKU.