KERAJAAN bersetuju menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia diberikan selepas melihat berdasarkan kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat.
“Bilangan penerima yang layak dianggarkan adalah melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion,” kata beliau
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia , hari ini.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan kerajaan juga akan menyediakan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara kerajaan.
“Ia termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
“Bantuan khas ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak serta lebih sejuta pesara,” ujar beliau.
Anwar berharap dengan pemberian ini, penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan ekonomi MADANI, memberi perkhidmatan terbaik sekali gus membantu ruang fiskal kerajaan agar hasrat kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan. -WILAYAHKU