Berita

Kerajaan prihatin isu bebanan rakyat

KPDN bekerjasama dengan KPKM bagi memastikan harga barangan terkawal dan bekalan di pasaran mencukupi.
- Diterbit 27 Mac 2025 8:30 AM MYT
HARGA barang dan bahan mentah naik melambung sempena Aidilfitri ini?

Demikian persoalan dilontarkan segelintir warganet yang kononnya mula membanding-bandingkan situasi sambutan Aidilfitri dengan perayaan lain.

Mereka mempersoalkan kenapa harga barangan naik hanya ketika Aidilfitri, tidak ketika perayaan lain?
Nampaknya mereka buat tuduhan tanpa siasat terlebih dahulu. Faktanya, kerajaan tidak pernah mengabaikan keperluan rakyat, jauh sekali mahu membebankan mereka.

Apa yang masyarakat perlu tahu, sebenarnya sebanyak 26 barang keperluan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri yang berkuat kuasa pada 24 Mac hingga 7 April ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah barangan di bawah skim berlangsung 15 hari itu juga lebih banyak berbanding hanya 22 barangan pada SHMMP 2024.

Katanya empat barangan tambahan pada tahun ini adalah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah dan santan.

“Tempoh pelaksanaan selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, satu hari ketika perayaan dan tujuh hari selepas perayaan,” katanya pada sidang media pengumuman SHMMP Aidilfitri 2025 di Festival Ramadan Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Armizan berkata pelaksanaan skim pada kali ini adalah bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga.

Katanya pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

“Selain itu, penentuan harga ini dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan berkaitan dan pemain-pemain industri,” katanya.

Menurutnya KPDN bekerjasama dengan KPKM bagi memastikan harga barangan terkawal dan bekalan di pasaran mencukupi.

Katanya semakan harga barangan terbabit boleh dibuat melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.

Beliau mengingatkan peniaga agar mematuhi peraturan termasuk meletakkan tanda harga bagi barang kawalan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Jadi, terbuktilah kerajaan sentiasa mengambil pendekatan mahu meringankan beban rakyat terutamanya sempena sambutan Aidilfitri. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas