Berita

Kerajaan peruntukkan RM515 juta bina lorong tambahan dari Yong Peng Utara hingga Senai Utara

- Diterbit 16 Januari 2025 5:15 PM MYT

KERAJAAN memperuntukan sebanyak RM 515 juta bagi projek pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya Utara Selatan (LUS), Fasa 1 membabitkan Yong Peng Utara hingga Senai Utara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek pembinaan lorong tambahan itu bertujuan menangani kesesakan di LUS terutama di waktu puncak seperti cuti umum dan musim perayaan.

“Projek pembinaan lorong tambahan itu membabitkan pelebaran jalan dari dua lorong ke tiga lorong.

“Projek yang mempunyai tiga fasa itu dilaksanakan secara berperingkat iaitu dari Senai (Utara) Ke Machap, Johor.

“Kerja-kerja penambahan lorong sudah dimulakan sejak Julai sehingga Disember tahun lalu dan dijangka siap pada suku kedua 2027,” kata Nanta Linggi yang meninjau status kerja projek Fasa 1A, lalu Sedenak -Kulai, pagi tadi.

Dalam pada itu, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, Nanta Linggi, berkata pihaknya sudah mengarahkan kerja-kerja yang dijalankan di lokasi terbabit tidak akan melibatkan sebarang penutupan lorong di kedua-dua arah lebuhraya serta tidak akan mengganggu aliran trafik sedia ada.

Arahan pemberhentian kerja bermula dari 23 Januari hingga 3 Februari 2025.

“Saya sudah mengarahkan pihak PLUS agar memastikan kelancaran trafik di lokasi semasa melaksanakan semua kerja di tapak pembinaan pada musim perayaan nanti,” katanya dalam satu kenyataan. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas