Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Kerajaan Persekutuan peruntuk RM69.18 juta selesai kadar NRW negeri Kelantan

- Diterbit 26 Jun 2024 3:50 PM MYT

KERAJAAN Persekutuan telah memperuntukkan RM69.18 juta secara geran kepada Kelantan di bawah Program Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan Pendekatan Satu, bagi mengurangkan kadar NRW di negeri itu yang mencatatkan 54.5 peratus tahun lepas.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata geran itu merangkumi pakej satu yang melibatkan kerja-kerja penggantian meter untuk mendapatkan bacaan NRW lebih tepat, yang telah siap dan diserahkan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada Mac 2023; manakala pakej dua membabitkan kerja penggantian dan pembaikan tangki air yang dijangka siap September ini.

“Selaras dengan penstrukturan semula industri bekalan air, operator air bertanggungjawab dalam kerja-kerja pembinaan, penggantian dan pembaikan infrastruktur bekalan air bagi menjamin kelangsungan bekalan air yang berterusan kepada pengguna.

“Walau bagaimanapun, kementerian komited membantu negeri-negeri untuk mengurangkan kadar NRW melalui program pengurangan NRW,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu perancangan diambil kementerian bagi menyelesaikan masalah air di Kelantan terutama NRW.

Akmal Nasrullah berkata bagi mengatasi kehilangan air secara fizikal disebabkan oleh kekerapan kebocoran pada paip agihan yang lama dan uzur, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) juga memberikan pembiayaan berjumlah RM210 juta kepada AKSB bagi melaksanakan projek penggantian paip simen asbestos AC) sepanjang 359 kilometer secara berfasa di seluruh Kelantan.

“Satu mesyuarat penyelarasan antara kementerian dan kerajaan negeri Kelantan telah diadakan pada Februari 2024 bagi membincangkan pelaksanaan projek tersebut. Walau bagaimanapun kementerian masih menunggu, memerlukan keputusan kerajaan negeri Kelantan sama ada bersetuju untuk menerima peruntukan berjumlah RM500 juta itu secara pinjaman atau tidak, sebagai salah satu usaha untuk kita selesaikan isu bekalan air di Kelantan.

“Komitmen sudah diberikan untuk selesaikan urusan air, tetapi dari segi mekanisme, kita tidak mahu berlaku tidak adil. Ini pendekatan kita buat di negeri lain juga dan cuma hari ini kita masih menunggu keputusan kerajaan negeri Kelantan daripada bulan Februari yang masih tidak menjawab sama ada mahukan bantuan ini atau pun tidak,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas