KECOH baru-baru ini kononnya parti komponen kerajaan iaitu UMNO dan DAP kini tidak lagi sehaluan sekali gus dilihat akan memberi kesan kepada sokongan rakyat.
Pelbagai dakwaan timbul antaranya DAP ingin menjadi ‘abang besar’ dalam kerajaan dan menganggap UMNO sekadar tempelan.
Apa yang lebih dahsyat apabila ada yang memfitnah kononnya DAP mahukan wakilnya menjadi Perdana Menteri.
Hakikatnya, isu-isu ini sengaja dimainkan agar DAP dan UMNO berpecah dan seterusnya mengganggu struktur kerajaan hari ini.
Fitnah yang dilemparkan itu tidak berasas sama sekali kerana DAP sebenarnya mahu UMNO kembali kuat semula.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pernah menyatakan pendirian secara terbuka mahu melihat UMNO kembali kuat dan menjadi tempat berpaut kepada DAP untuk kekal relevan dalam landskap politik tanah air.
Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata lebih mengejutkan, Steven membuat pengakuan itu di hadapan Jemaah Menteri ketika sesi mesyuarat pasca Kabinet baru-baru ini.
“Yang Berhormat Steven Sim pernah menyatakan UMNO perlu kuat, kami (DAP) hanya nak menumpang UMNO sahaja, DAP hanya boleh menang kerusi antara 40 hingga 43 kerusi, tak mungkin lebih dari itu.
“Kami pula masyarakat Cina, tak ramai anaknya dan tak mungkin kami nak menuntut menjadi Perdana Menteri, itu saranan beliau.
“Kalau UMNO tidak kuat, kami tak boleh menumpang pada UMNO, saya beri kebenaran kepada Datuk, guna sewenang-wenangnya masa yang ada ini untuk memperkukuhkan UMNO itu sendiri,” katanya.
Terdahulu, Abdul Rahman merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di Dewan Dato Hormat.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.
Abdul Rahman juga memberitahu, beliau turut diarahkan oleh Steven untuk memanfaatkan masa yang berbaki bagi menguatkan UMNO di seluruh negara.
“Datuk pergilah Pantai Timur, datuk pergilah ke utara, datuk pergilah ke selatan, untuk membantu UMNO supaya UMNO itu bertambah kuat.
“Daripada riak muka beliau, saya nampak keikhlasan hatinya waktu beliau beritahu kepada saya,” katanya lagi.
Selain itu, Abdul Rahman juga menyangkal persepsi negatif dilemparkan terhadap DAP dengan panggilan jelik termasuk cauvanis dan sosialis sedangkan perkara itu tidak berasas.
“Mereka ini tidak seperti yang kita sangkakan sebelum ini. Yang Berhormat, Nga Kor Ming pernah menyebut beliau tak sangka rupa-rupanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seorang yang rajin bekerja, mempunyai idealisme tinggi dan mereka (DAP) sangat seronok bekerja bersama beliau.
“Ini apa yang mereka lontarkan yang saya dengar, Steven Sim ini sudah pasti orang yang rapat dengan saya dan sentiasa bersama dengan saya,” tambahnya – WILAYAHKU