Berita

Kerajaan Perpaduan raih sokongan ‘luar biasa’

Penjawat awam kini dilihat yakin dengan kerajaan perpaduan pimpinan datuk seri anwar ibrahim
- Diterbit 17 Mei 2024 9:30 AM MYT

SOKONGAN penjawat awam terhadap Kerajaan Perpaduan penting dalam memastikan kestabilan dan keberjayaan sebuah negara. Golongan ini memainkan peranan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Untuk memperoleh sokongan, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap keperluan dan kepentingan penjawat awam serta rakyat secara menyeluruh.

Ini termasuk memberikan ganjaran yang adil, meningkatkan keupayaan mereka melalui latihan dan pembangunan profesional serta memastikan kebebasan untuk menyuarakan pendapat tanpa rasa takut.

Lebih setahun mentadbir negara, Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan keadilan dan kesaksamaan berjaya menyedarkan rakyat bahawa kerajaan sentiasa memperjuangkan kepentingan mereka.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata dasar kerajaan yang mesra kakitangan awam telah menambat hati sehingga diterjemahkan dalam peningkatan undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Menurut Mohammad Tawfik, peningkatan sokongan terhadap kerajaan turut dipengaruhi oleh pengumuman dan pemberian pelbagai insentif kepada penjawat awam.

“Sebenarnya jika diperhati, sifirnya mudah sahaja, apabila Kerajaan Perpaduan mula cakna dengan segala isu terhadap kakitangan awam ini, maka daripada situ titik tolak permulaan corak kecenderungan pengundian sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Kita lihat, pendekatan tersebut memang berkesan, tambahan lagi pengumuman itu terbukti menerusi peralihan sokongan penjawat awam khususnya semasa di PRK KKB baru-baru ini yang melibatkan anggota polis dan tentera,” katanya.

Tambah Mohammad Tawfik keputusan tersebut agak mengejutkan jika dilihat kepada statistik Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

“Jika dilihat peralihan sokongan penjawat awam terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang mengejutkan ramai pihak.

“Walau bagaimanapun, ini jelas terbukti kebajikan atau segala inisiatif yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri telah membuahkan hasil yang produktif,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pertumbuhan ekonomi yang positif juga membantu peralihan sokongan tersebut.

“Rakyat memerhati serta cakna dengan perkembangan negara, malah usaha sama Kerajaan Perpaduan juga dapat dilihat dalam membantu meningkatkan ekonomi dengan menarik pelabur-pelabur asing.

“Kita juga dapat lihat­ usaha sama dijalin dengan pelbagai rangkaian syarikat-syarikat gergasi serantau dunia yang mahu melabur di negara ini,” katanya.

Selain itu, jelas Mohammad Tawfik, Perdana Menteri yang menjalinkan hubungan terhadap negeri ditadbir pembangkang juga jelas menunjukkan kesamarataan dalam kerajaannya.

“Antaranya seperti pembinaan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) fasa dua akan dilaksanakan serta-merta, Perdana Menteri dan jemaah menteri hadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kedah bukti bahawa Kerajaan Perpaduan tidak menganaktirikan negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

“Integriti dan sifat sebegini terus meluntur jiwa rakyat dan percaya bahawa Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan tepat untuk terus memacu negara ke arah masa hadapan yang lebih cemerlang,” katanya.

Malah tegasnya, segala inisiatif yang dilaksanakan adalah tonik bagi meraih sokongan kakitangan awam sekali gus dapat menstabilkan politik negara dan mengukuhkan kekuatan ekonomi.

“Di sini saya lihat sebagai tonik penjawat awam untuk bekerja lebih kuat dan satu permulaan baharu apabila mereka dilihat dan diberi penghargaan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Bagi saya ia satu persekitaran untuk usaha gigih, saya lihat hubungan antara penjawat awam dan persekutuan akan lebih erat.

“Kesannya juga akan membawa kepada peningkatan ekonomi, segala dasar juga dapat dijalankan dengan baik selain perkhidmatan awam yang lebih cekap dan efisien,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun jelasnya, perkara ini adalah satu proses untuk menarik kepercayaan, bukan mudah namun tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Ia adalah satu proses yang memakan masa, kita biarkan ia berlaku sebab tempoh untuk Pilihan Raya Umum juga masih jauh lagi.

“Kerajaan masih punyai masa untuk meningkatkan imej mereka, laksanakan segala usaha bagi menstabilkan ekonomi negara sekali gus mengurangkan beban rakyat.

“Rakyat khususnya anak muda akan menilai serta menterjemahkannya kepada sokongan kepada kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas