Oleh ZULKIFLI SULONG
JUMAAT lepas saya telah ke Kuala Kubu Bharu (KKB), sehari menjelang hari pembuangan undi di Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.
Sasaran saya adalah untuk melihat sendiri bagaimana isu sebuah masjid melarang petugas atau penyokong parti yang memakai baju parti khasnya Pakatan Harapan (PH) daripada masuk ke masjid itu untuk bersembahyang.
Saya sampai awal ke masjid itu, iaitu kira-kira satu jam sebelum solat Jumaat bermula. Mengikut jadualnya, Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor, Dr Fahmi Ngah juga akan datang sendiri ke masjid itu untuk membincangkan isu berkenaan.
Di Masjid Bandar Utama, Batang Kali itu, ada makanan dan air percuma disediakan. Ada nasi kunyit berlauk rendang ayam, ada air balang dan juga koktel yang disediakan untuk para jemaah.
Yang menarik, ada kopiah bercop Kita Selangor diberikan secara percuma kepada jemaah masjid itu. Orang ramai berebut-rebut mencuba dan mengambil kopiah putih yang berkualiti baik itu. Menjelang khutbah Jumaat, kesemua kopiah itu telah habis diambil oleh orang ramai dan mereka memakainya untuk bersolat.
Dalam hati saya sudah terdetik, kalau orang ramai di kubu PAS itu boleh dengan mudah mengambil dan memakai kopiah Kita Selangor itu, bermakna, sentimen penolakan kepada kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Harapan itu sudah melunak dalam kalangan orang Melayu.
Masakan mereka boleh memakai kopiah Kita Selangor jika mereka marah kepada kerajaan negeri.
Terbukti, selepas keputusan PRK itu diumumkan, calon perpaduan dari DAP yang bertanding atas banner Pakatan Harapan, Pang Sok Tao telah dipilih untuk memberikan khidmat sebagai wakil rakyat kepada mereka.
Yang menarik calon PH menang selepas undi awal dikira. Pengundi awal untuk PRK ini adalah anggota polis, tentera dan juga petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hampir kesemuanya adalah pengundi Melayu.
Dalam PRK Kuala Kubu Bharu 2024, calon PH mendapat 592 manakala calon PN mendapat 156. Ia terbalik jika dibandingkan dengan pilihan raya negeri 2023 lalu di mana calon PN mendapat 530 undi manakala calon PN hanya mendapat 146 undi.
Undi keseluruhan pengundi Melayu juga berubah dalam pilihan raya kali ini.
Calon PH-BN memperoleh peningkatan tiga peratus undi daripada kaum Melayu, berbanding pencapaian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
“Sokongan kaum Cina masih kekal kepada PH, bahkan semakin meningkat, manakala sokongan kaum India turut menunjukkan peningkatan sebanyak lapan peratus kepada gabungan berkenaan,” kata penganalisis dari Institut Darul Ehsan (IDE).
Bagi penganalisis, antara faktor yang menyumbang kepada perkalihan besar ini adalah kerja keras Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Saifuddin sejak bergelar menteri memberikan tumpuan kepada kebajikan anggota beruniform termasuk sentiasa menaik taraf beberapa kemudahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti pos PGA dan kuarters kediaman.
Contohnya ketika dalam sesi podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin pada pertengahan Mac lalu, Saifuddin berkata dia menggunakan RM200 juta untuk meluaskan lagi kuarters kediaman anggota polis yang dahulunya sekitar 600 kaki persegi kini menjadi 1,200 kaki persegi.
“Anggota tak boleh duduk dalam rumah yang 600-700 kaki persegi. Bila kita tengok rumah anggota macam itu, apa yang kita buat?
“Kita pecahkan dinding tengah supaya dia jadi 1,200 kaki persegi. Dan semua itu kita siapkan. Selain itu kita cat baharu, wiring yang dibaik pulih, kabinet dapur serta bilik air,” kata Setiausaha Agung PH itu.
Selepas lebih setahun mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan Malaysia MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini sudah banyak melakukan kebaikan untuk rakyat khasnya penduduk majoriti negara ini iaitu orang Melayu.
Namun, kelemahan ketara yang dilihat adalah kegagalan jentera dan penyokong kerajaan khasnya media milik kerajaan untuk meraikan atau merayakan kejayaan dan kerjabaik yang dibuat oleh kerajaan.
Akibatnya, kejayaan dan kerjabaik ini tenggelam tanpa diketahui oleh orang ramai kecuali mereka yang mendapat manfaat langsung daripadanya.
Tambahan pula, ia ditenggelamkan oleh sentimen perkauman dan agama yang dimainkan oleh pihak pembangkang.
Oleh itu, mahu atau tidak, kerajaan perlu menyediakan satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas sebagai panduan untuk membolehkan media terutamanya milik kerajaan termasuk RTM dan BERNAMA, untuk meraikan kejayaan dan kerja baik yang dibuat oleh kerajaan.
Melalui SOP ini, setiap kejayaan dan kerjabaik yang dibuat kerajaan akan disambut dengan jelas dan bertahan dalam tempoh tertentu bagi memastikan semua pihak tahu mengenainya.
Adakah kerajaan dan agensi milik kerajaan bersedia untuk menyedia dan melaksanakan SOP ini. Terserahlah….
Ini sekadar pandangan dari penulis sahaja.