Berita

Kerajaan perinci 3 tahap pantau pokok berisiko

- Diterbit 25 Julai 2024 3:40 PM MYT

KERAJAAN memperincikan tiga tahap mekanisme pemantauan bagi menilai pokok-pokok yang berisiko bagi mengelakkan tragedi pokok tumbang berulang di Kuala Lumpur.

Menteri Di jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata Tahap 1 di mana non-Arborist membuat pemeriksaan pokok melalui penilaian visual berdasarkan pengalaman kerja dan pengetahuan dalam bidang arborikultur.

“Tahap 2 ialah melalui Visual Tree Assestment (VTA) yang dilaksanakan oleh Arborist bertauliah dengan menggunakan standard yang ditetapkan oleh International Society of Arboriculture (ISA).

“Tahap 3 pula penilaian terhadap keadaan struktur pokok menggunakan peralatan khas yang dinamakan Resistrograph dan mengunakan khidmat tree climber untuk membuat penilaian di setiap bahagian atas pokok,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahya yang meminta menyatakan apakah bentuk pemantauan berkala oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap daya tahan dan perkembangan usia pokok-pokok besar di Kuala Lumpur.

Tambah Zaliha, penilaian dan pemeriksaan pokok bagi Tahap 1 dilaksanakan pada setiap 10 bulan untuk satu pusingan manakala bagi Tahap 2 dan 3 pula, ianya dilaksanakan di lokasi yang mempunyai sejarah kegagalan pokok (tree faillure) yang mempunyai bilangan pokok berusia berisiko tinggi.

Jelasnya, ia termasuk lokasi berfrekuensi tinggi berdasarkan penggunaan orang awam dan kawasan yang padat dengan harta benda berharga.

Zaliha menegaskan DBKL turut menjalankan pemeriksaan secara komprehensif dan terperinci bagi kerja-kerja pemeriksaan kesihatan dan kesuburan pokok yang tidak boleh dilihat dengan VTA, seperti bahagian akar, batang dan silara pokok.

“Dalam pada masa yang sama, DBKL telah menggunapakai satu sistem yang dinamakan sebagai e-pokok dimana sistem ini telah dibangunkan pada tahun 2019 dengan jumlah pokok yang telah diinventori dan dimasukkan dalam sistem ialah sebanyak 236,551 pokok.

“Sistem ini bertujuan untuk merekod data inventori pokok, penanaman pokok baru, daftar pokok serta kerja-kerja penyelenggaraan pokok.

“Hasil penggunaan sistem ini pada akhirnya dapat membantu DBKL untuk memantau dan menyediakan laporan
kerja-kerja penyelenggaraan pokok di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zaliha berkata matlamat utama cadangan penubuhan Tabung Dana Amanah Kawasan Hijau untuk merangsang kerjasama antara sektor awam dan swasta serta meningkatkan penyertaan masyarakat umum dalam meningkatkan kualiti landskap hijau negara, melalui pendekatan ‘whole-of-nation’.

“Sekiranya penubuhan Tabung ini berjaya, usaha meningkatkan nisbah kawasan hijau atau kawasan lapang di Kuala Lumpur kepada 20 meter persegi per penduduk, selaras dengan aspirasi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, mungkin akan dapat dicapai dengan lebih awal.

“Buat masa ini, DBKL sedang meneliti Seksyen 9 dan 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] bagi maksud penubuhan ‘Tabung Dana Amanah Kawasan Hijau’ yang melibatkan pengurusan wang awam.

“Tabung ini kelak akan diuruskan sebagaimana kumpulan wang amanah yang ditubuhkan oleh lain-lain agensi kerajaan, mengikut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia WP10.4: Tatacara Pengurusan Akaun Amanah / Kumpulan Wang Amanah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas