KERAJAAN bertindak menilai semula cadangan-cadangan projek tebatan banjir selepas tahun 2022 untuk memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan kritikal terlebih dahulu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia berdasarkan proses pentadbiran dan peruntukan kontrak yang bersesuaian serta mematuhi tatacara perolehan yang ditetapkan Kementerian Kewangan.
Biarpun begitu katanya, kerajaan komited dalam melaksanakan projek mitigasi banjir bagi menangani risiko banjir yang semakin meningkat, terutamanya di kawasan-kawasan yang sering terdedah kepada bencana.
“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang meneliti pendekatan untuk menyegerakan projek dengan tempoh dan kos yang lebih efektif.
“Antara cadangan yang diambil ialah semua urusan termasuk pengambilan tanah dan proses rekabentuk akan diteliti semula untuk mempercepatkan tempoh penyiapan projek,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perincian dan tindakan kementerian supaya projek berkaitan tebatan banjir disegerakan.
Fadillah berkata, dengan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dijangka projek dapat disegerakan sehingga 12 bulan lebih awal daripada tempoh asal penyiapan
projek.
Katanya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa berusaha untuk mengurangkan impak banjir di
seluruh negara secara berterusan.
Untuk tujuan tersebut jelasnya, kementerian mengambil langkah pendekatan secara struktur dan bukan struktur.
“Melalui pendekatan secara struktur, PETRA melalui JPS melaksanakan projek rancangan tebatan banjir termasuk projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi (TBBT). Pelaksanaan projek ini merangkumi skop membina dan menaik taraf pelbagai infrastruktur banjir seperti ban, floodwall, struktur kawalan, rumah pam, pintu air, kolam takungan termasuk kerja melebar dan mendalamkan sungai,” katanya.
Melalui pendekatan bukan struktur pula katanya, PETRA melalui JPS menyediakan pelan induk tebatan banjir di seluruh Malaysia bertujuan untuk menyediakan perancangan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh.
“Sehingga Rolling Plan Kelima tahun 2025, sebanyak 50 pelan induk tebatan banjir telah disiapkan dan enam pelan pula sedang dibangunkan. Tiga lagi dirancang untuk mula dibangunkan bermula Jun 2025.
“Sehingga Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak 136 projek tebatan banjir telah diluluskan dengan jumlah kos RM22.86 bilion. Daripada jumlah tersebut, 35 projek sedang dalam peringkat pra-pelaksanaan dan 73 projek sedang dalam pelaksanaan,” katanya. – WILAYAHKU