KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) masih mengekalkan peranan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai pengimport tunggal beras.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melantik atau memberi kebenaran kepada mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri untuk mengimport beras ke dalam negara.
“Kerajaan telah menandatangani perjanjian konsesi dengan BERNAS untuk tempoh 10 tahun lagi, iaitu dari 11 Januari 2021 sehingga 10 Januari 2031.
“Perjanjian konsesi ini telah memperuntukkan 10 obligasi sosial untuk pembangunan industri padi beras yang perlu dilaksanakan oleh BERNAS dan sebagai balasan BERNAS diberi hak untuk mengimport beras bagi tempoh sepanjang konsesi berdasarkan kuota bagi menampung kekurangan pengeluaran dalam negara seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya dalam jawapan lisan yang dikemukakan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) di parlimen.
Jelas Mohamad, obligasi itu antaranya ialah mengurus stok penimbal beras negara, mengekalkan peranan sebagai pembeli padi terakhir pada harga minima dan mengurus pembayaran subsidi harga padi serta skim pengilang, pemborong bumiputera dan koperasi petani.
“Selain itu, BERNAS juga diminta memperuntukkan dana bagi pembekalan jentera dan mekanisasi padi, membangunkan sawah berskala besar dan menyediakan peruntukan bagi beberapa program termasuk pembangunan stok penimbal benih padi, bantuan tabung bencana tanaman padi dan sistem maklumat padi dan beras.,” katanya. – WILAYAHKU