SERAMAI 100 sukarelawan melalui SERVE dan Team Selangor ditugaskan membantu proses pembersihan rumah yang selamat didiami dalam tragedi letupan gas bawah tanah di Putra Heights, Selasa lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Kerajaan Negeri Selangor kini sedang menyelaras sukarelawan bagi membantu tugas pembersihan berkenaan.
Amirudin dalam kenyataan medianya turut menggesa pihak yang ingin terlibat untuk berdaftar dengan SERVE.
“Kerajaan negeri sedang menyelaraskan bantuan seramai 100 sukarelawan yang akan membantu tugas pembersihan untuk rumah yang selamat didiami bagi meringankan beban penduduk.
“Jika terdapat pihak lain ataupun badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terlibat sama, saya menggesa untuk berdaftar dengan SERVE
supaya bantuan kepada penduduk dapat dioptimumkan,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.
Amirudin pada masa sama turut merakamkan ucapan terima kasih kepada 489 anggota kerajaan yang turun ke ‘ground zero’ seawal 10 minit selepas kejadian berlaku.
“Saya berharap komitmen dan semangat ini dapat kita teruskan supaya
semua keluarga yang terkesan dapat mula kembali kepada kehidupan
mereka masing-masing dengan lebih yakin,” katanya.-WILAYAHKU