KERAJAAN menafikan dakwaan bahawa pampasan berjumlah RM2 juta telah diberikan kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, seperti yang ditularkan di media sosial oleh seorang pendak2ah, Firdaus Wong Hai Hung melalui laman facebooknya semalm.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas dan tiada sebarang perjanjian atau pembayaran pampasan seperti yang digambarkan.
“Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil.
“Malahan, tiada sebarang ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah saya umumkan secara rasmi semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keputusan yang dicapai adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat, dengan pendekatan menang-menang.
“Yang paling utama, pembinaan masjid yang tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti,” jelasnya.
Zaliha turut menegaskan bahawa kes ini adalah penyelesaian khusus dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mana-mana kes lain pada masa akan datang.
Beliau menyeru semua pihak agar menghentikan polemik yang tidak berfaedah dan tidak mengapi-apikan sentimen agama serta perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih.
“Keamanan dan keharmonian negara harus terus dijaga dan tidak digugat oleh dakwaan yang boleh mencetuskan ketegangan,” katanya.-WILAYAHKU