TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menaruh harapan yang tinggi tahun 2025 akan memberikan kesejahteraan, kemakmuran dan kebahagian kepada negara dan seluruh rakyat Malaysia termasuk komuniti India.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh diberi tugas dan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan masyarakat India berkata, untuk tahun 2025 lebih banyak lagi inisiatif akan dilaksanakan khususnya dalam memperkukuhkan lagi ekonomi komuniti itu.
“Ini seiring dengan proses pembangunan negara sepertimana yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan sempena Tahun Baru 2025.
Beliau berkata Anwar telah menyarankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk mengusahakan lebih banyak lagi inisiatif untuk komuniti India.
Katanya, pada masa yang sama beliau juga telah menyatakan untuk menggerakkan dan mengilhamkan lagi program yang dapat memberi manfaat melalui agensi-agensi kerajaan yang lain juga.
“Kerajaan MADANI dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup komited dalam pegangannya untuk membela harapan dan nasib semua bangsa di negara ini termasuk masyarakat India.
“Perdana Menteri melihat, mendengar dan membaca setiap perkembangan berkaitan dengan hal ehwal komuniti India di negara ini,” katanya.
Menurut Ramanan setiap kali KUSKOP melancarkan inisiatif baru, Anwar akan menghubunginya untuk memastikan segala inisiatif mendahulukan sistem penyampaian, pemantauan dan perlaksanaan yang terbaik.
“Beliau cukup prihatin dengan ‘keberhasilan’ setiap inisiatif yang dilaksanakan,” katanya.
Komitmen Kerajaan MADANI dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti India di Malaysia terus terserlah melalui pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan pada tahun tahun 2024.
Pada 22 Disember lepas, Anwar telah meluluskan peruntukan untuk bantuan Kewangan kepada 90 rumah Ibadat Masyarakat India di seluruh negara dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.17 Juta dibawah inisiatif Vanakam Madani.
Usaha KUSKOP turut menumpukan kepada pengukuhan ekonomi masyarakat India selaras kerangka Ekonomi MADANI melalui program seperti Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big yang disalurkan melalui TEKUN dengan peruntukan RM60 juta.
Setakat 23 Disember, program ini telah memberi manfaat kepada 2,370 usahawan dengan bantuan berjumlah RM57.977 juta.
Bagi memperkasakan golongan wanita India, program Prosperity, Empowerment, and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah menyediakan pembiayaan bernilai RM30.34 juta kepada 3,285 usahawan wanita.
Bank Rakyat melalui program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) melalui RM 50 juta diperuntukkan telah membantu 451 usahawan India dengan jumlah keseluruhan RM40.39 juta telah disalurkan.
Untuk memperkasa syarikat kecil milikan komuniti India, KUSKOP melalui SME Corp melancarkan Program Business Accelerator (I-BAP) dengan peruntukan RM6 juta.
Dalam membangunkan bakat dan kemahiran, program Empowering Indian Entrepreneur (EIP 2024) telah dilancarkan bagi memberi fokus kepada latihan keusahawanan, kecerdasan buatan (AI), kewangan, dan media sosial.
Program Vanakam MADANI pula merupakan satu platform yang digerakkan di peringkat akar umbi untuk memperkasakan sistem penyampaian maklumat kerajaan termasuk bantuan untuk kumpulan B40 seperti bantuan bakul makanan, kebajikan dan sebagainya.
Di peringkat koperasi, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menganjurkan Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) pada 13 Oktober, yang disertai oleh 200 koperasi. Geran sehingga RM 30 ribu bakal di salurkan kepada setiap koperasi yang layak pada tahun depan.
Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR 1 berkata, untuk tahun 2025 sudah pasti akan ada berita gembira dan akan mengumumkannya apabila tiba masanya nanti.
Menurutnya, pada tahun 2024, pihaknya telah umumkan tujuh inisiatif yang telah memberikan impak yang cukup baik.
“Sudah pasti Kerajaan MADANI cukup komited untuk memastikan kesinambungan ini berterusan.
“Sudah pasti akan proses penambahbaikan dan tambah nilai untuk tahun depan. Saya dan pasukan saya telah merancangnya. Kita akan umumkan dalam masa terdekat nanti.
“Harapan saya hanyalah, pastikan segala program, inisiatif yang diumumkan dapat dikongsikan termasuk cerita-cerita kejayaan. Jangan kita terpedaya dan terpengaruh dengan cerita-cerita ‘syok sendiri’ yang direka oleh kumpulan tertentu untuk kepentingan politik,” katanya.
Ramanan juga menyarankan komuniti India untuk terus bersatu padu mara ke depan bagi menjamin masa depan yang lebih baik dan gemilang. – WILAYAHKU
[Iklan]