ISTILAH ‘madani’ terus popular dan menjadi riuh dalam kalangan masyarakat kita. Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10‚ gagasan Malaysia MADANI telah menukar nama beliau daripada seorang pemimpin pembangkang kepada seorang ketua kerajaan yang rajin bekerja dan berani membuat perubahan drastik.
Tanpa sedar‚ kini usia Kerajaan MADANI telah menjangkau 24 bulan dengan membawa pelbagai inisiatif dan insentif sehingga ke dapur rumah setiap masyarakat kita tanpa mengira bangsa dan agama. Walaupun ada di antara bantuan dan agenda kerajaan itu adalah rantaian penambahbaikan dari kerajaan terdahulu‚ namun Kerajaan MADANI ini juga tidak kurang banyaknya memperkenalkan perkara-perkara baharu atas nama kesejahteraan rakyat.
Sabah dan Sarawak
Dalam banyak-banyak kejayaan dan usaha Kerajaan MADANI ini‚ kita harus menonjolkan bagaimana Sabah dan Sarawak diberi perhatian yang cukup besar dan selayaknya. Menjengah tahun kedua Malaysia MADANI‚ Sabah dan Sarawak telah menerima peruntukan pembangunan tertinggi berbanding negeri-negeri lain dalam Belanjawan 2025.
Sabah menerima peruntukan RM6.7 bilion bagi tujuan pembangunan‚ meningkat 0.45 peratus berbanding yang diterima negeri itu pada tahun 2024. Sarawak pula menerima peruntukan RM5.9 bilion bagi tujuan yang sama.
Acap kali Perdana Menteri sebut bahawa Kerajaan MADANI sedang dan akan terus mengambil langkah progresif bagi merapatkan jurang pembangunan yang telah wujud sekian lama antara Pulau Borneo dengan Semenanjung Malaysia.
Seperkara lagi mengenai keprihatinan Anwar terhadap Sabah dan Sarawak ini adalah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang rata-rata mengetahui bahawa ia sedang bergerak cukup pantas dan positif. Jika tidak penting‚ masakan Anwar meletakkan seorang anak jati Sarawak iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof‚ selaku Timbalan Perdana Menteri untuk menguruskan rundingan berkaitan MA63.
Hasilnya‚ 11 daripada 21 tuntutan di bawah MA63 berjaya diselesaikan sehingga kini. Tambah menarik‚ tujuh daripada tuntutan yang diselesaikan itu dimuktamadkan dalam tempoh hanya kurang dua tahun di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Pembangunan Luar Bandar
Keprihatinan Anwar bagi melihat masyarakat sentiasa mendapat kemudahan terbaik jelas dapat dilihat melalui sejumlah wang yang diperuntukkan untuk belanja pembangunan melalui Belanjawan 2025 yang diumumkan pada Oktober lalu.
Untuk tahun kedua pemerintahan Kerajaan MADANI ini‚ pengagihan tertinggi wang rakyat untuk belanja pembangunan adalah kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) iaitu sebanyak RM9‚327 juta. Sepintas lalu‚ ini gambaran bahawa Perdana Menteri tidak mahu kemudahan infrastruktur asas untuk masyarakat di negara ini berada pada tahap yang teruk.
Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) masing-masing memperoleh peruntukan kedua dan ketiga tertinggi bagi belanja pembangunan iaitu sebanyak RM7‚623 juta dan RM7‚494 juta.
Anwar tidak memberi fokus untuk membina mercu tanda atau program yang bersifat suka ria. Sebaliknya‚ beliau memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan luar bandar melalui timbalannya‚ Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan tumpuan KKDW terarah kepada pembinaan dan baik pulih jalan-jalan kampung‚ membina dan baik pulih jambatan di kampung‚ pemasangan dan selenggara lampu jalan kampung dan kemudahan bekalan air bersih dan elektrik di kawasan-kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak.
Lebih RM2 bilion difokuskan untuk kerja-kerja penyediaan kemudahan asas itu di kampung seluruh negara‚ sebagai suatu tanda bahawa Kerajaan MADANI menjelang tahun kedua ini makin serius untuk sebuah jihad kesejahteraan rakyat.
Itu tidak termasuk lagi dengan usaha KKDW untuk membina rumah mampu milik yang dijenamakan semula sebagai Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang telah wujud sejak tahun 1989.
Zahid sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan ternyata telah membuat pelbagai ‘sentuhan ajaib’ melalui 1‚001 agenda di bawah KKDW.
Kehidupan di kota
Selain luar bandar‚ kita wajar akui dan sedari bahawa kehidupan masyarakat di kawasan kota atau bandar besar mempunyai cabarannya yang berbeza. Klise‚ kerajaan akan melihat kehidupan masyarakat di kota sudah tersedia baik dan memerlukan bantuan yang agak minima. Namun sebaliknya‚ kehidupan masyarakat di kota raya sebenarnya harus diberi perhatian berbeza dan serius.
Menyedari hakikat ini‚ Kerajaan MADANI tahun kedua tidak tunggu lagi untuk membawa pelbagai agenda yang mampu menyentuh jiwa warga kota kita.
Bermula dengan Pangkalan Data Utama (PADU). Ia berperanan untuk memastikan masyarakat kota menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan (sekiranya layak) daripada pelbagai inisiatif kerajaan berfokuskan rakyat. Seterusnya Program Pembangunan Usahawan Muda Kota di 169 lokasi strategik di Kuala Lumpur dan Putrajaya benar-benar memberi ruang kepada masyarakat untuk mencari sesuap nasi. Melalui program ini‚ Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyediakan ruang perniagaan (kios) untuk 1‚122 usahawan anak muda dengan syarat yang minima.
Program MYMedic @ Wilayah antara salah satu perkara yang popular di Wilayah Persekutuan. Ia merupakan klinik bergerak yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan asas secara percuma terus kepada masyarakat di kawasan perumahan kos rendah.
Masyarakat ibu kota juga ada Program MYJob @ Wilayah yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan bagi masyarakat di perumahan kos rendah sekitar Kuala Lumpur yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik COVID-19 lalu. Program MYFood @ Wilayah juga tidak kurang menarik. Melalui program ini‚ kerajaan memberi barangan asas seperti makanan tin‚ gula‚ minyak‚ beras di 335 kawasan kos rendah dan sederhana rendah.
RMK-13
Kini‚ Kerajaan MADANI tahun kedua terus menerima cabaran baharu dengan pelbagai kaedah baharu. Harus diakui‚ Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan menjadi dokumen penting kerajaan ini dalam merangka hala tuju ekonomi negara bagi lima tahun akan datang.
Seperti yang pernah disebutkan oleh Menteri Ekonomi‚ Rafizi Ramli‚ RMK-13 akan menjadi dokumen penting untuk kerajaan merangka hala tuju ekonomi negara hingga tahun 2040.
Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab‚ usia dua tahun tidak harus dijadikan alasan bagi penciptaan sebuah dokumen strategik yang komprehensif kepada masyarakat. Justeru‚ tepatlah saranan sesetengah pihak agar RMK-13 dirangka melibatkan semua pihak daripada perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) sehinggalah kepada isu masyarakat menua.
Sejujurnya‚ kita bukan sahaja menjurus kepada Belanjawan 2025 yang telah mencipta sejarah sebagai belanjawan terbesar Malaysia. Sebaliknya kita mahu melihat akan setiap usaha dan keringat pihak kerajaan di kala baru sahaja berumur dua tahun namun terpaksa membawa suatu agenda besar kepada kehidupan masyarakat yang kian lebih mencabar dari tahun ke tahun.
Setakat yang ada saat ini‚ ramai yang memberi keyakinan baik terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim dalam memacu Kerajaan MADANI untuk merealisasikan impiannya membentuk sebuah masyarakat madani yang tidak sekadar bertunjangkan kepada kemampanan ekonomi dan pembangunan fizikal‚ tapi turut terangkum ‘karamah insaniah’ – pemerintahan yang manusiawi dan memenuhi pelbagai tuntutan keadilan.
Semoga peristiwa penggal sebelum ini (tiga kerajaan dalam satu penggal) tidak lagi berulang dalam sejarah politik tanah air yang tercinta.
Sarfarizmal Md Saad merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.