BAGI mengatasi masalah pengangkutan murid ke sekolah, kerajaan telah meluluskan pembinaan bangunan asrama baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran, Sabah yang dianggar bernilai RM17 juta.
Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata peruntukan disalur di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pada tahun depan itu juga diharap mengatasi masalah ketidakhadiran murid yang tinggi.
“Cadangan skop kerja adalah pembinaan bangunan asrama berkapasiti 200 murid, sebuah dewan makan, rumah warden dan lain-lain kemudahan berkaitan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) yang mahu tahu status pembinaan bangunan asrama baharu di SMK Libaran.
Muslimin berkata peruntukan bagi pembangunan asrama baharu itu sebelum ini tidak diluluskan dengan projek pembinaan bangunan gantian penuh SMK Libaran di bawah RP1 RMK11 pada tahun 2016.
Katanya sehingga 31 Nov lalu, projek bernilai RM29.6 juta yang merangkumi pembinaan 24 bilik darjah itu telah mencapai status kemajuan 95.5 peratus. – BERNAMA