Berita

Kerajaan lantik perunding bentuk semula sistem perparitan KL

DARIPADA 29 kawasan yang terjejas pada Isnin, air banjir surut dalam tempoh 30 hingga 45 minit di 25 kawasan manakala ia mengambil masa antara satu hingga tiga jam untuk surut di empat kawasan lain.
- Diterbit 9 Mac 2022 12:42 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik perunding untuk mereka bentuk semula longkang-longkang di bandaraya ini supaya ia dapat menampung air hujan yang meningkat mendadak akhir-akhir ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, tindakan itu diambil bagi mempertingkatkan keupayaan longkang di bandaraya ini bagi menampung air hujan.

“Perunding telah diminta untuk menyiapkan kajian dalam tempoh 12 bulan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menangani masalah banjir kilat di Kuala Lumpur berasaskan Annual Recurrence Interval (ARI) 200 sebagai asas mereka bentuk semula keupayaan sungai di Kuala Lumpur.

Shahidan menafikan dakwaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) bahawa DBKL tidak membersihkan longkang secara berkala, dengan menyatakan ia mempunyai 19 perangkap sampah di sungai-sungai di bandar raya ini yang dibersihkan setiap hari.

“Saya ingin menerangkan bahawa DBKL telah menyediakan 19 perangkap sampah terapung di sungai-sungai di Kuala Lumpur bagi menahan sampah daripada bahagian hulu sungai.

“Semua perangkap sampah ini diselenggara setiap hari. Bagaimanapun, apabila paras air sungai terlalu tinggi semasa hujan lebat, sampah-sampah yang ditahan di perangkap sampah sedia ada terlepas ke bahagian hilir sungai dan menyebabkan sampah-sampah tersebut tersangkut di tempat-tempat laluan air serta menjejaskan kelancaran aliran air,” katanya.

Kuala Lumpur dilanda banjir kilat kali kedua dalam tempoh tiga bulan selepas hujan lebat menenggelamkan ratusan kenderaan dan menyebabkan bekalan elektrik terputus pada Isnin, dengan beberapa jalan lebuh raya turut ditutup kepada lalu lintas.

Shahidan berkata, daripada 29 kawasan yang terjejas pada Isnin, air banjir surut dalam tempoh 30 hingga 45 minit di 25 kawasan manakala ia mengambil masa antara satu hingga tiga jam untuk surut di empat kawasan lain.

Ketika membahaskan titah-titah Seri Paduka Baginda di Dewan Rakyat semalam, Teresa Kok (PH-Seputeh) menggesa Shahidan menyemak semula semua cadangan projek perumahan berkepadatan tinggi di bandar ini, dengan berkata sistem perparitan itu tidak direka untuk menghadapi hujan lebat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklum Task Force banjir yang terdiri daripada jabatan-jabatan dalaman DBKL serta JPS sentiasa mempertingkatkan pengawasan dan penguatkuasaan.

“Penyelenggaraan berkala iaitu pembersihan sungai di bawah tanggungjawab DBKL dilaksanakan tiga kali seminggu. Yang kedua, penyelenggaraan parit monsun telah dipertingkatkan dan kini parit-parit tersebut yang tersumbat dan rosak telah berkurangan.

“Kekerapan kerja-kerja pembersihan jalan dan longkang-longkang telah dipertingkatkan dengan kerjasama Tetuan Alam Flora Sdn Bhd,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap projek pembinaan yang melanggar syarat-syarat kelulusan telah dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian banjir lumpur dan penyelenggaraan dan penaiktarafan “Drainage Outlet’’ yang rosak dan tersumbat sedang giat dilaksanakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas