BERDASARKAN laporan Indikator Kos Sara Hidup 2023, terdapat peningkatan kos barangan dan perkhidmatan kepada rakyat bagi tahun 2023.
Dalam hal tersebut, kerajaan amat prihatin terhadap cabaran rakyat untuk menikmati kehidupan yang wajar. Justeru pelbagai langkah diambil bagi mengatasi isu kos sara hidup melalui strategi jangka pendek.
Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis pada Sesi Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat menjelaskan antara langkah tersebut adalah Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah dengan peruntukan hampir 13 bilion ringgit.
“Selain itu, pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah berjumlah 300 juta ringgit; program mengawal harga barang melalui usahasama dengan pelbagai pihak, 700 juta ringgit dan Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan sebanyak 40 juta ringgit,” ujarnya menjelas soalan Wong Chen (PH-Subang Jaya) yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan saranan DOSM ke arah memerangi kenaikan kos sara hidup.
Mengulas lanjut, bagi strategi jangka sederhana dan panjang untuk mengatasi kos sara hidup pula memfokuskan kepada pelbagai aspek antaranya dengan memperkenalkan Dasar Gaji Progresif bagi meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
“Antaranya menaikkan kadar gaji minimum kepada 1,700 ringgit bermula 1 Februari 2025; menggalakkan pelaburan dalam sektor strategik bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan menyediakan kemudahan pinjaman dan dana jaminan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, NACCOL di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup terus melaksanakan usaha berterusan bagi mengatasi isu kenaikan kos sara hidup rakyat dengan memberikan tumpuan kepada 7 kluster keutamaan iaitu Perumahan, Pendidikan, Pengangkutan, Utiliti, Kesihatan, Makanan dan Pendapatan.
“KPDN juga akan mengguna pakai indikator kos sara hidup sebagai mekanisme penambahbaikan program seperti Jualan Rahmah agar lebih bersasar dan efektif kepada kumpulan sasar. Kempen kepenggunaan juga akan dipergiat bagi pembelian bijak berdasarkan keperluan dan mengelakkan perbelanjaan berkaitan kos gaya hidup,” ujarnya. – WILAYAHKU