Berita

Kerajaan jana penjimatan RM 600,000 sebulan sejak penyasaran subsidi diesel

- Diterbit 3 Disember 2024 10:29 AM MYT

KERAJAAN berjaya menjana penjimatan sekitar RM 600,000 sebulan sejak penyasaran subsidi diesel diperkenalkan 10 Jun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, penjimatan yang diperoleh kerajaan itu akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk dari sudut infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan antaranya seperti jalan, hospital dan sekolah.

“Di samping itu, peruntukan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2025 turut ditingkatkan berbanding peruntukan tahun 2024.

“Kerajaan akan terus komited dalam mengukuhkan jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif selaras dengan hasrat Kerajaan dalam menaikkan lantai di bawah Ekonomi MADANI,” kata Hui Ying.

Tambah Hui Ying lagi, kerajaan juga telah menurunkan harga diesel tanpa subsidi sebanyak 40 sen seliter menjadikan harga apungan semasa pada kadar RM 2.95 seliter.

Selaras dengan penyasaran semula subsidi diesel, kerajaan telah mengapungkan harga diesel tanpa subsidi di pam bagi minggu pertama bermula 10 Jun 2024 kepada RM3.35 seliter berbanding RM2.15 seliter melalui kaedah apungan harga secara terkawal.

“Pada 10 Jun 2024, kerajaan telah melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel bermula di Semenanjung Malaysia melalui program Budi Madani. Di bawah program Budi Madani, terdapat 3 sub-program utama iaitu Program MySubsidi Diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0), BUDI Individu dan Budi Agro-Komoditi.

“Di bawah SKDS 2.0, 23 jenis kenderaan diesel pengangkutan barangan darat yang menggunakan kaedah fleet card akan kekal menikmati harga diesel pada kadar RM2.15 seliter. Selain itu, kerajaan
juga menyediakan bantuan tunai sebanyak 200 ringgit sebulan atau 2,400 ringgit setahun kepada individu pemilik kenderaan diesel persendirian, golongan petani dan pekebun kecil di bawah Budi Individu dan Budi Agro-komoditi tertakluk kepada kriteria kelayakan yang ditetapkan.

“Sehingga 31 Oktober 2024, lebih 140,000 penerima Budi Individu dan 65,000 penerima BUDI Agri-Komoditi telah diluluskan dalam tempoh 5 bulan pelaksanaan sejak Jun 2024 dengan jumlah bayaran sebanyak 160 juta ringgit,” katanya menjawab pertanyaan Muhammad Fawwas Mohd Jan di Dewan Rakyat yang bertanya berapa penjimatan kerajaan daripada subsidi diesel yang telah ditarik dan bagaimana kaedah kerajaan untuk menggunakan jumlah penjimatan ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas