Fitnah vs Fakta

Kerajaan jamin kebebasan media

FAHMI ketika menjawab soalan mengenai isu kebebasan media di Dewan Rakyat.
- Diterbit 14 Mac 2025 11:28 AM MYT

BARU-BARU ini tular kembali isu kerajaan bimbang dan takut dengan fakta-fakta yang akan menjatuhkan kepimpinan sekarang.

Maka bermulalah segelintir netizen yang kononnya tahu semua perkara, mendakwa organisasi media sekarang tidak bebas membuat laporan berita kerana Kerajaan MADANI tidak boleh dikritik atau ditegur.

Dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali kerana Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan Radio Televisyen Malaysia (RTM) diberi kebebasan melaporkan berita tanpa sekatan termasuk kes berprofil tinggi melibatkan individu tanpa mengira pangkat, agama dan bangsa.

Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat minggu lalu, Fahmi menegaskan bahawa sepanjang 2024 sehingga 15 Januari lalu, RTM telah memaparkan lebih 30 kes salah guna kuasa dalam laporan berita sama ada di televisyen atau radio.

“Malah ada di antara kes-kes tersebut diberi liputan dari peringkat awal sehinggalah ke proses perbicaraan dan jatuh hukum oleh mahkamah,” katanya.

Tambah Fahmi RTM menerusi ketiga-tiga platform penyiarannya mengamalkan konsep liputan berimbang dan bertanggungjawab tanpa mengambil kira fahaman politik dan subjek liputan.

“(RTM) mengutamakan faedahnya kepada rakyat dan negara, selagi tidak melibatkan provokasi kepada mana-mana pihak,” kata Fahmi.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan dikemukakan Hassan Saad (PN-Baling) yang meminta penjelasan mengenai langkah-langkah diambil kerajaan untuk memastikan kebebasan media dan kebebasan bersuara terjamin tanpa menyekat laporan kritikal terhadap isu salah guna kuasa.

Sementara itu pendirian kerajaan yang disampaikan Fahmi sekali gus menegaskan kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media serta menjamin hak kebebasan bersuara rakyat menurut Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun jelasnya kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak, ia perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab dan beretika, mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang mencorakkan masyarakat Malaysia.

Justeru beliau mengesyorkan pengamal media merujuk kepada Kod Kandungan 2022 (Kod Kandungan) yang memberikan panduan jelas berhubung standard kandungan yang selaras dengan Akta 588 dalam memastikan pelaporan yang bertanggungjawab selain daripada melangkaui batas kebebasan media.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menekankan bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan melalui Fasal 2(a) memperuntukkan dengan jelas bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat, antara lain, demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya dan ketenteraman awam atau prinsip moral.

Selain itu menteri terbabit menyatakan komitmen Kementerian Komunikasi dalam menjamin kebebasan media dimanifestasikan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia yang dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen kali ini.

RUU itu katanya, membuka jalan ke arah media yang lebih demokratik, bebas dan beretika di Malaysia. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas