KERAJAAN memberi jaminan bahawa kebajikan pekerja PETRONAS yang terkesan akibat penstrukturan semula syarikat akan tetap diberi perhatian, meskipun industri minyak dan gas kini berdepan cabaran baharu termasuk peralihan tenaga dan perubahan pasaran global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata langkah pengoptimuman tenaga kerja yang diambil PETRONAS bukan perkara baharu dan dilaksanakan bagi memastikan syarikat itu kekal berdaya saing serta mampu terus menyumbang kepada pembangunan negara secara mampan.
“PETRONAS, seperti syarikat minyak dan gas global lain, perlu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
“Usaha penstrukturan ini dilakukan mengikut prosedur yang betul, adil dan mengambil kira kebajikan pekerja terlibat,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Negara semalam.
Azalina berkata penstrukturan semula PETRONAS itu dijangka berlaku susulan pelaksanaan formula pengagihan gas asli di Sarawak yang membabitkan PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
“Langkah ini dijangka mengurangkan kira-kira 30 peratus hasil PETRONAS dan memberi impak terhadap tenaga kerja syarikat berkenaan,” katanya.
Menurut Azalina, usaha pengoptimuman saiz tenaga kerja ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan PETRONAS terus bersaing dalam industri petroleum tempatan dan antarabangsa.
“Walau bagaimanapun, kerajaan dan PETRONAS komited memastikan proses ini berjalan dengan adil dan kebajikan pekerja tetap diberi keprihatinan sewajarnya,” katanya.-WILAYAHKU