Berita

Kerajaan iltizam martabat huffaz agar tidak ketinggalan

- Diterbit 15 September 2024 10:57 AM MYT

KERAJAAN MADANI akan terus mengangkat martabat huffaz agar tidak ketinggalan dalam aspek pekerjaan serta kehidupan khususnya melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Himpunan 24,000 Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur malam semalam.

Himpunan itu merupakan anjuran Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA).

“Saya juga telah meluncurkan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0) yang merupakan penambahbaikan kepada sistem penilaian bersepadu bagi mengiktiraf penghafaz 30 juzuk Al-Quran.

“Semoga STM 2.0 ini akan membuka peluang lebih besar kepada para huffaz melanjutkan pendidikan sesuai dengan tuntutan perubahan zaman,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Anwar berharap anak-anak huffaz tidak putus untuk berdoa agar negara terus makmur dalam menghadapi pelbagai cabaran demi kepentingan rakyat terbanyak.

“Para huffaz menggunakan ilmu dan kemahiran hafalan yang dimiliki untuk membawa mesej Islam sebagai agama rahmah, menyeru kepada kebenaran dan keadilan serta memupuk perpaduan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas