Berita

Kerajaan hormati Institusi Diraja, enggan ulas isu Titah Adendum secara terbuka

Foto: Youtube Parlimen Malaysia
- Diterbit 6 Mac 2025 10:42 AM MYT

KERAJAAN MADANI menegaskan bahawa segala urusan berkaitan semakan kehakiman dan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah dalam bidang kuasa mahkamah serta Lembaga Pengampunan dan tidak boleh dibincangkan secara terbuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa menjunjung tinggi institusi Diraja serta memastikan semua titah dan arahan Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menegaskan bahawa prinsip pemisahan kuasa tetap dihormati dan kerajaan tidak akan campur tangan dalam proses kehakiman yang sedang berlangsung.

“Permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Datuk Seri Najib telah mendapat keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025 untuk diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

“Oleh kerana kes ini masih dalam pertimbangan mahkamah, ia tidak boleh dibincangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) bagi memastikan prosiding berjalan secara adil tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini

Sebelum ini, isu Titah Adendum yang dikaitkan dengan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib telah menjadi perhatian umum dan menimbulkan pelbagai spekulasi. Namun, kerajaan MADANI kekal dengan pendirian bahawa setiap tindakan yang diambil harus mencerminkan prinsip keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, serta integriti sistem pentadbiran negara.

Azalina turut mengingatkan bahawa Perdana Menteri sudah menjelaskan isu ini dalam kenyataannya pada 11 Januari 2025, dan kerajaan tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang sedang dalam proses perundangan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas