KERANGKA Ekonomi MADANI yang diluncurkan pada 27 Julai 2023 memungkinkan hala tuju yang jelas untuk membentuk semula Malaysia sebagai peneraju ekonomi rantau Asia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, apa yang lebih mendesak dan mustahak adalah kerangka Ekonomi MADANI yang memberi petunjuk kepada kepemimpinan dan generasi penerus untuk mempasak sebuah sistem ekonomi yang berteraskan prinsip manusiawi dengan ihsan, dengan rahmah, agar keadilan dapat ditegakkan bagi setiap insan warga Malaysia.
“Atas ikhtiar tersebut, kerajaan telah menggerakkan usaha untuk menjelmakan anjakan baharu bermula pada tahun ini, insya-Allah,” ujar beliau dalam ucapan sempena tahun baharu 2025.
Tambah Anwar, beliau memahami bahawa tidak semua keputusan dan kebijakan kerajaan itu popular atau lekas membuahkan hasil namun semuanya dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas, niat ikhlas serta penilaian yang teliti untuk memastikan dasar-dasar tersebut ini memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.
“Sebagai contoh penyasaran subsidi diesel dan sebelumnya tentang tarif elektrik yang digerakkan oleh Kerajaan MADANI untuk menutup ketirisan sekian lama dek subsidi pukal yang telah disalurkan kepada pihak yang paling kaya, yang saya sebut sebagai mahakaya dan orang asing tiga setengah juta orang yang tidak layak menerima subsidi,” ujar beliau.
Dalam masa sama, kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya.
“Selain daripada menambah jumlah bantuan saban tahun, kerajaan juga giat gejala fenomena kenaikan kos yang harus ditangani, kerana kos sara hidup ditangani melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara.
“Pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya,” ujar beliau.
Menyentuh tentang musibah banjir yang berlaku mutakhir ini, Anwar memberi jaminan bahawa segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan sampai dengan segera.
“Kerja pemulihan dan bantuan secepat mungkin akan diselenggara oleh semua agensi Kerajaan Pusat, Persekutuan dengan kerjasama jentera negeri dan Kerajaan Tempatan atau Jajahan.
“Operasi kesiapsiagaan sejak awal telah dirangka secara mampan agar dapat mengelak dari dampak yang buruk dari musibah tersebut. Insya-Allah, kita akan mampu mengharungi dan melindungi lebih banyak nyawa dari terkorban atau harta benda yang rosak.
“Mengenai perbelanjaan pembangunan negara, selain daripada memberikan tumpuan kepada prasarana asas seperti jalan raya, lebuh raya dan bekalan, adalah dengan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi walaupun akan memberikan kesan dan dampak perbelanjaan yang tinggi,” kata Anwar. – WILAYAHKU