Berita

Kerajaan galakkan institusi kewangan menyediakan pakej pembiayaan skim solar

- Diterbit 22 Mac 2024 12:39 PM MYT

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menggalakkan institusi kewangan dan pelabur menyediakan pakej pembiayaan bagi membantu rakyat memperolehi sistem solar bagi keperluan domestik.

Katanya, langkah itu dicadangkan bagi membantu pengguna memanfaatkan tenaga boleh baharu itu khususnya bagi kedua-dua sektor, komersial dan domestik.

Tambahnya, kerajaan akan turut memperkenalkan skim solar sifar modal kepada pengguna komersial yang membolehkan pemasangan solar dilakukan tanpa bayaran modal;

“Kerajaan juga menggalakkan skim ansuran kad kredit sifar faedah kepada pengguna domestik yang membolehkan pengguna membayar balik kos pemasangan sistem solar secara ansuran bulanan tanpa dikenakan faedah oleh pihak bank.

“Selain itu skim pinjaman khas solar kepada pengguna komersial yang membolehkan pengguna mendapatkan pinjaman bank untuk pembiayaan kos pemasangan sistem solar dengan kadar faedah yang ditetapkan oleh institusi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang dikemukakan oleh Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau-PH) yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah dan inisiatif yang telah dilaksanakan atau dalam perancangan untuk menjadikan program guna tenaga boleh baharu (RE) dinikmati dengan kos yang berpatutan untuk golongan B40 di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan telah menyediakan program khas di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat untuk membolehkan rakyat yang merupakan pengguna elektrik domestik memasang sistem solar di bumbung premis/ rumah kediaman masing-masing.

“Manakala, Program NEM NOVA diperkenalkan untuk membolehkan pemasangan sistem solar oleh pengguna komersial dan industri.

“Secara puratanya, kos pemasangan sistem solar adalah dalam lingkungan RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap kilowatt sistem solar yang dipasang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas