Berita

Kerajaan fokus tangani isu infastruktur untuk tarik pelabur

AZMAN ketika menyampaikan bantuan kewangan kepada 100 asnaf di Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 13 September 2024 4:40 PM MYT

KERAJAAN terus memberi perhatian dalam menangani pelbagai isu termasuklah taraf kemudahan asas yang membelenggu Pulau Labuan demi menjamin kesejahteraan rakyat sebelum menarik pelabur asing.

Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan beberapa peruntukan khas bagi menangani infrastruktur kemudahan asas di Labuan.

Katanya, pada lawatan khas Perdana Menteri ke Labuan, kerajaan telah menyalurkan dana RM300 juta untuk penggantian fasa pertama paip air yang usang.

“Untuk menarik pelabur asing ke Labuan, kita harus memastikan infrastruktur kemudahan asas dalam keadaan baik dan terjamin, kerana itu kerajaan ketika ini memfokuskan menangani pelbagai isu pembangunan infrastruktur asas.

“Kita tahu antara isu yang membelenggu Labuan ialah infrastruktur, terutamanya air dan elektrik. Ini sudah kita tangani, kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi mengatasi isu tersebut.

“Petronas juga sedang membina janakuasa untuk memastikan tiada gangguan bekalan elektrik. Apabila semua infrastruktur penting ini siap, kita boleh mulakan semula rancangan induk pembangunan Pulau Labuan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sumbangan kepada 100 asnaf di Labuan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Menara Perbadanan Labuan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merangkap Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan berkata bagi projek penggantian paip usang di seluruh Labuan, kerajaan telah membelanjakan peruntukan hampir RM1 bilion.

“Selain itu, projek janakuasa elektrik baharu oleh Petronas dijangka akan memastikan tiada gangguan bekalan elektrik kepada pengguna menjelang 2027.

“Ini adalah bukti menunjukkan bahawa pembangunan Labuan tidak dipinggirkan dan menjadi satu keutamaan untuk memacu semula pembangunan, ekonomi serta kesejahteraan rakyat di pulau ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata kini pelbagai pihak pelabur luar telah menunjukkan minat dalam pelaburan perbankan, digital dan sebagainya.

“Perkara ini merupakan salah satu perkara yang amat baik dan perlu kita manfaatkan namun Labuan masih mempunyai masalah kekurangan pembangunan infrastruktur asas yang perlu diatasi terlebih dahulu.

“Selain itu, pada masa ini kita akan menyelesaikan masalah itu di peringkat domestik dan bulan ini syarikat penerbangan AirAsia telah menambah penerbangan ke Labuan dan kita berharap ia akan diikuti oleh syarikat penerbangan yang lain,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas