Kuala Lumpur

Kerajaan fokus tambah baik kualiti udara di KL

- Diterbit 31 Ogos 2024 12:38 PM MYT

KERAJAAN fokus untuk mencari penyelesaian bagi menambah baik kualiti udara di Kuala Lumpur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam satu mesyuarat antara beliau yang dipengerusikan secara bersama dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Menteri Kesihatan.

“Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan isu serta inisiatif terkait kualiti udara di Kuala Lumpur memandangkan kualiti udara boleh menyumbang kepada isu kesihatan selain memberi kepada pembangunan dan pelaburan asing,” katanya di Facebook.

Menurut Zaliha mesyuarat tersebut turut bersetuju supaya pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji kemungkinan untuk memanjangkan waktu program Car Free Morning dengan nama baru Car Free Day atau Car Free Weekend.

Beliau berkata ini memandangkan pelepasan asap kenderaan merupakan antara penyumbang utama pencemaran udara.

“Walaupun indeks kualiti udara di Malaysia dicatatkan yang terbaik di Asia Tenggara mengikut bacaan terbaru pada 29 Ogos lalu, namun masih terdapat ruang untuk memperbaiki.

“Perkara ini dalam usaha merealisasikan aspirasi CHASE City di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas