PERANCANGAN menjadikan Labuan sebagai Bandar Pintar merupakan teras utama kerajaan untuk memajukan semula pembangunan pulau itu.
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dengan pencapaian matlamat itu mampu merancakkan semula ekonomi Labuan khususnya dalam sektor pelancongan dan ekonomi.

Katanya, baru-baru ini pihaknya telah menerima kunjungan lima pelabur dari dalam dan luar negara yang menunjukkan minat bagi membuat beberapa pelaburan besar di Labuan.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai pelaburan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Tanah Besar Sabah dan ia dalam fasa kajian teknikal dan termasuk juga pelaburan untuk menjadikan pulau ini sebagai bandar pintar.
“Kita sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) menyambut baik para pelabur yang berminat untuk membuat pelaburan di pulau ini dan kesemua cadangan yang dikemukakan itu telah mendapat pertimbangan daripada pihak kerajaan,” katanya semasa ditemui pemberita, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai cadangan pembinaan Jambatan Labuan – Menumbok, Simsudin menjelaskan bahawa kerajaan bukan berhasrat untuk membatalkan membina jambatan tersebut namun cadangan itu belum mempunyai keperluan mendesak untuk dilaksanakan berdasarkan keadaan ekonomi negara ketika ini.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya menolak terus cadangan projek jambatan itu tetapi kerajaan perlu mencari pendekatan terbaik dan mencari pelabur yang sesuai tanpa melibatkan kewangan negara agar projek itu boleh diteruskan.
“Kami juga terus mencari pelabur yang sesuai dengan kehendak kerajaan dan sudah mengenal pasti beberapa tetapi masih memerlukan perbincangan yang mendalam,” jelas beliau. – WILAYAHKU