MAJLIS Tindakan Malaysia Madani (MTMM) bersetuju agar Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) melaksana dan memperluaskan Projek Bitara Madani dengan segera termasuk memberi tumpuan kepada penyelesaian terhadap kesulitan dan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemudahan menjalankan perniagaan.
“MTMM memberi tumpuan kepada dua projek baharu Bitara Madani iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memperluas pelaksanaan Gerai Madani.
“Di bawah projek menaik taraf fasiliti, kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan di bawah KKM dengan sasaran kesemua fasiliti tersebut akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir tahun 2023.
“Manakala bagi memperluas pelaksanaan Gerai Madani, kaedah penambahbaikan yang diguna pakai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan untuk menaik taraf 20 medan selera di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpilih,” jelas beliau dalam hantaran di Facebook.
Tambah beliau, tindakan penambahbaikan itu akan mengubah penampilan dan kemudahan agar lebih bersih serta indah demi keselesaan rakyat.
Anwar berkata projek-projek Bitara Madani sentiasa mendukung rukun Malaysia Madani dan menggunakan pendekatan ‘The Whole of Government’ bagi setiap pelaksanaan projek yang dikenal pasti.
“Melalui pendekatan ini, ketua projek adalah terdiri dalam kalangan pegawai kanan perkhidmatan awam di kementerian atau jabatan berbeza dan bertanggungjawab terhadap projek yang dikenal pasti.
“Ini bagi memastikan setiap pelaksanaan projek-projek Bitara Madani dinilai daripada perspektif berbeza dan lebih menyeluruh,” ujar beliau.
Beliau berkata berdasarkan tumpuan kepada kos yang rendah serta pelaksanaan penyelesaian segera dan penggunaan sumber sedia ada, kesemua projek di bawah Bitara Madani selari dengan anjakan reformasi penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, berintegriti dan berkualiti dalam memberi khidmat kepada masyarakat serta berupaya memberi kesan secara langsung kepada rakyat. -WILAYAHKU