Berita

Kerajaan fokus pemerkasaan ekonomi, strategi kurangkan kos sara hidup

ANTARA pemimpin yang hadir pada mesyuarat tersebut.
- Diterbit 23 Januari 2024 5:15 PM MYT

MESYUARAT Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang diadakan semalam memfokuskan perbincangan soal pemerkasaan ekonomi dan strategi untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri bersama kepimpinan seluruh 14 parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Ketua Sekretariatnya, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata hasil mesyuarat bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Perpaduan di negeri-negeri yang melibatkan semua parti-parti yang membentuk Kerajaan Madani.

“Konvensyen Perpaduan peringkat negeri akan dimulakan di Negeri Perak pada 28 Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, menurut Asyraf Wajdi, antara intipati penting yang dibincangkan ialah penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera.

“Kongres tersebut yang dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan diadakan pada 29 Februari, 1 dan 2 Mac depan.

“Pihak MARA dan Kementerian Ekonomi diberikan tanggungjawab menjadi Sekretariat Tetap penganjuran yang akan menyelaras seluruh proses penganjuran termasuk libat urus yang dijalankan oleh 10 Kluster yang melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, usahawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli korporat, usahawan muda dan lain-lain,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas