KERAJAAN akan terus memberi fokus bagi mengurangkan bekalan air tidak berhasil yang masih berada pada tahap yang kurang memuaskan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tindakan itu penting dalam mengurangkan pembaziran dan memastikan kemampanan sumber air negara.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Air Negara ke-6 di Putrajaya petang semalam.
Menurut Anwar, mesyuarat itu merupakan platform bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk meneliti serta membincangkan mengenai pengurusan sumber air negara.
“Mesyuarat semalam memberi tumpuan kepada strategi meningkatkan pengawalan kualiti air sungai serta pengukuhan pengurusan dan penyelidikan bahan cemar baharu dalam sumber air Malaysia.
“Banyak implikasi diakibatkan oleh pencemaran air dan ada daripada kesan itu berada di tahap yang membimbangkan,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Anwar berkata beliau menekankan kepentingan penguatkuasaan berdasarkan peraturan dan undang-undang.
Katanya disamping itu keperluan pemantapan tatakelola dan pengaplikasian teknologi terkini dalam usaha memantapkan kualiti pengurusan air sungai di seluruh negara.
“Mesyuarat turut bersetuju terhadap keperluan penubuhan satu jawatankuasa kerja bagi meneliti ancaman pencemaran ini.
“Jawatankuasa ini akan melibatkan semua pemegang taruh untuk memastikan ancaman ini dapat ditangani segera,” katanya. – WILAYAHKU