Berita

Kerajaan dituduh tidak tegas isu boikot, terserah pada pengguna

BOIKOT produk dari Israel tanda solidariti umat Islam terhadap bumi Palestin. Gambar hiasan
- Diterbit 17 November 2023 12:25 AM MYT

ISU boikot produk dari Israel semakin menjadi perbualan hangat di mana-mana sahaja selain tular di platform media sosial. Pelbagai reaksi yang dapat dilihat antaranya ada yang menyokong, menentang selain terdapat juga yang enggan mengambil tahu hal.

Namun dalam keghairahan untuk memboikot produk tersebut, ada juga suara-suara sumbang yang melontarkan pandangan bahawa kerajaan tidak tegas dalam isu ini.
Biarpun berulang kali pihak kerajaan mengulangi pendirian menyokong Palestin namun ada sahaja yang tidak puas hati dan menunding jari sesuka hati seolah-olah tiada apa yang dilakukan kerajaan selama ini.

Tampil memberi pandangan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan berkata orang ramai perlu tunaikan tanggungjawab kemanusiaan menghulurkan apa jua bentuk bantuan di samping terus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.

“Kita sebagai umat Islam kena menunjukkan solidariti ini dengan memboikot barangan yang datang dari negara Israel.

“Jadi dengan sebab itu nak tunjukkan solidariti kita dan mengajar mereka bahawa kita umat Islam ini umat yang bersatu padu dan banyak lagi pilihan barangan daripada produk yang dikeluarkan oleh umat Islam.

“Kita utamakan dalam tempoh ini dan seterusnya tinggalkan terus barang dan produk dari negara yang membunuh umat Islam,” katanya baru-baru ini.

Malah, tambah beliau, pihak kerajaan juga tetap dengan pendirian menyokong Palestin meskipun tiada dasar tertentu untuk memboikot sebarang produk.

Sementara itu, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata ketika ini tidak ada sebarang dasar berhubung tindakan memboikot sesuatu barangan oleh pengguna.

Kerajaan tidak boleh menghalang pengguna memboikot produk berkait Israel.

“Sebagai kerajaan pendirian kita adalah menyokong Palestin, itu pendirian kita. Tetapi sama ada interpretasi itu nak menyokong, boikot atau tidak, itu terserah kepada individu atau pengguna,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Beliau berkata semua jenama asing di Malaysia adalah milik syarikat tempatan melalui konsep francais induk yang tertakluk pada Akta Francais 1998.

“Contoh seperti McDonald’s yang merupakan milik Gerbang Alaf Sdn Bhd dan Starbucks milik Berjaya Group. Syarikat Gerbang Alaf Restoran Sdn Bhd mempunyai lebih 300 outlet dan jumlah pekerja tempatan lebih 25,000 orang.

“Jenama antarabangsa ini mereka bayar royalti. Akan tetapi pengguna yang membuat keputusan,” katanya sebelum Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 kemudiannya diluluskan di Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju.

Jelas di sini, setiap apa yang dilakukan kita sebagai pengguna adalah atas inisiatif diri sendiri. Tidak perlu menunding jari kepada pihak lain. Tepuk dada tanya selera. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas