Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Kerajaan dituduh ‘pilih bulu’ tiada penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak

SABAH dan Sarawak dikecualikan kerana diesel merupakan bahan api utama yang digunakan secara meluas
- Diterbit 28 Jun 2024 9:30 AM MYT

ISU penyasaran subsidi diesel masih terus diperkatakan dan dilihat menjadi bahan untuk menjatuhkan kerajaan pada hari ini sedangkan ternyata langkah tersebut dilakukan untuk menyelamatkan negara daripada ketirisan membabitkan diesel di sempadan negara.

Namun isu ini terus dimainkan di laman sosial oleh pihak tidak bertanggunjawab yang terus mempersoalkan mengapa penyasaran tersebut tidak melibatkan negeri Sabah dan Sarawak.

Malah ada yang mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap ‘memilih bulu’ dalam isu ini kerana bimbang jika kedua-dua negeri tersebut menarik diri, maka kerajaan tidak cukup majoriti.

Menyedari akan persoalan-persoalan yang tidak habis-habis dibangkitkan ini, Anwar tampil menjelaskan bahawa tiada desakan atau tuntutan daripada pemimpin Sabah dan Sarawak untuk meminta dikecualikan daripada penyasaran subsidi diesel.

Memetik amanat beliau pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2024 peringkat negeri di Pusat Konvenseyen Borneo, Sarawak baru-baru ini, beliau berkata kedua-dua wilayah tersebut dikecualikan kerana diesel merupakan bahan api utama yang digunakan secara meluas berbanding di Semenanjung.

“Keadaan jalan raya di Sabah dan Sarawak memerlukan penduduk menggunakan kenderaan diesel selain untuk kegunaan bot-bot.

“Ada hal yang kita boleh cukai pendapatan semua sama, tapi cukai atau penarikan subsidi yang membebankan rakyat terbanyak itu tidak boleh diteruskan, untuk apa?

“Bila kita lakukan ini saya yakin gambaran dan laporan prestasi daya saing lebih baik,” katanya.

Ujar Perdana Menteri, tujuan pengecualian itu perlu dijelaskan supaya tidak timbul kekeliruan dan menepis kritikan beberapa ahli Parlimen di Semenanjung.

Tambahnya, semua wakil rakyat perlu memahami keperluan negeri-negeri lain.

Sebelum ini, kerajaan mengambil kira kebergantungan tinggi ekonomi tempatan ke atas bahan api diesel dan keperluan pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan bersetuju tidak melaksanakannya buat masa ini kerana mengambil kira faktor geografi serta kebolehlaksanaan mekanisme bantuan seperti fleet card SKDS2.0 terutamanya di kawasan pedalaman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas