Berita

Kerajaan diharap salur dana Pusat Bantuan Guaman Syarie

- Diterbit 16 Oktober 2024 6:42 PM MYT

KERAJAAN diharap dapat meneruskan penyaluran peruntukan dana kewangan untuk Pusat Bantuan Guaman Syarie (Bagus-PGSM) dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, inisiatif itu digerakkan PGSM sejak 2022 bertujuan membantu ibu-ibu tunggal atau pihak yang tidak berkemampuan membayar kos melantik Peguam Syarie.

Katanya, ini bagi mewakili mereka membuat tuntutan atau menjawab tuntutan di Mahkamah Syariah di seluruh negara.

“Dari Oktober 2022 sehingga Disember tahun lalu, PGSM telah menerima lebih 1,498 permohonan di seluruh negara dan 549 permohonan diluluskan.

“Bagi tahun ini sehingga Ogos lalu, lebih 400 permohonan diterima. Walau bagaimanapun ia terpaksa ditangguhkan kerana bantuan tidak dapat diteruskan disebabkan tiada peruntukan disalurkan sejak tahun lepas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Musa berkata, Bagus-PGSM bukan sahaja menawarkan khidmat bantuan guaman untuk mewakili pihak-pihak membuat tuntutan atau menjawab tuntutan di Mahkamah Syariah.

Katanya, ia juga menawarkan khidmat nasihat undang-undang kepada masyarakat Islam yang ingin mendapatkan nasihat konsultasi perundangan berhubung proses dan prosedur tuntutan dan menjawab tuntutan mal di Mahkamah Syariah.

“Bantuan seumpama ini amat diperlukan terutamanya ibu-ibu tunggal yang bercerai, untuk menuntut hak penjagaan anak dan nafkah anak di bawah jagaan mereka, mutaah (sagu hati perceraian) untuk mereka meneruskan kelestarian kehidupan sebagai ibu tunggal, tunggakan atau penguatkuasaan nafkah anak dan sebagainya.

“Ibu-ibu tunggal terpaksa bekerja untuk meneruskan kehidupan, di samping menjaga anak-anak, pada masa sama menjadi kesukaran untuk mereka membuat tuntutan hak diri dan hak anak jika tidak diwakili peguam,” katanya.

Beliau menambah, Bagus-PGSM berbeza dengan program bantuan guaman yang lain kerana ia mudah diakses dan permohonan hanya secara dalam talian.

Katanya, ia juga mempunyai panel peguam syarie paling ramai iaitu seramai lebih 400 orang yang merupakan ahli-ahli persatuan.

“PGSM berharap kerajaan dapat memperuntukkan bajet atau dana kewangan bagi kesinambungan program ini, sekurang-sekurangnya sebanyak RM1.5 juta setahun, yang dapat membantu lebih 400 kes individu setiap tahun.

“Usaha yang baik oleh PGSM sebagai persatuan utama yang menaungi peguam syarie di negara ini sewajarnya diberikan sokongan dan galakan oleh kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas