KERAJAAN menerusi tiga agensi berjaya menangani lebih 7,500 kes serangan siber yang disasarkan ke atas sistem infrastruktur agensi kerajaan dari tahun 2022 sehungga September 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berdasarkan statistik daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) melalui Pusat Penyelarasan dan Kawalan Saiber Negara (National Cyber Coordination and Command Centre – NC4) yang memantau insiden keselamatan siber secara berterusan, sebanyak 4,378 insiden terhadap agensi Kerajaan telah direkodkan dalam tahun 2022 dan sebanyak 1,633 insiden keselamatan siber dalam tahun 2023.
“Manakala sehingga September 2024, sebanyak 1,547 insiden keselamatan siber ke atas sistem infrastruktur agensi Kerajaan telah dikesan dan berjaya ditangani melalui pemantauan berterusan dan tindakan segera oleh NACSA, MKN, JPM,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang minta Perdana Menteri menyatakan berapa jumlah serangan siber ke atas sistem infrastruktur Kementerian yang telah dikesan bagi tempoh 2022-2024 dan adakah infrastruktur yang sedia ada mampu untuk terus menangkis serangan tersebut.
Zaliha berkata selaras dengan usaha untuk meningkatkan pengukuhan keselamatan siber di peringkat nasional berhubung insiden ini, NACSA, MKN, JPM sentiasa membantu agensi Kerajaan dari segi pemakluman amaran ancaman keselamatan siber.
“Ia supaya agensi Kerajaan dapat melaksanakan tindak balas dengan segera dan juga untuk meminimumkan risiko serta mengekang berulangnya insiden keselamatan siber kepada agensi Kerajaan,”katanya.
Menurut Zaliha, sebagai langkah kesiapsiagaan bagi memastikan infrastruktur siber agensi Kerajaan mampu untuk terus menangkis serangan siber, NC4 juga memberikan cadangan pelaksanaan amalan terbaik dengan memastikan persekitaran agensi dilengkapi dengan kawalan keselamatan siber termasuk perisian anti-virus yang sentiasa dikemas kini
“Selain itu, kerajaan pelru membangun dan melaksanakan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan dan mengukuhkan pelaksanaan pengesahan (authentication) log masuk dengan penggunaan Multi-Factor Authentication (MFA) serta menyemak semula pembahagian rangkaian (network segmentation) bagi mengawal jangkitan ancaman keselamatan siber daripada merebak ke seluruh rangkaian agensi,”katanya.
Zaliha berkata NACSA, MKN, JPM sebagai agensi peneraju keselamatan siber negara memainkan peranan proaktif untuk meningkatkan keupayaan bagi mengenal pasti ancaman keselamatan siber yang berimpak kritikal kepada negara terutama yang bersifat sophisticated.
“Jaringan kerjasama serantau dan antarabangsa dengan pelbagai pihak juga membantu NACSA, MKN, JPM dalam melaksanakan peranan ini.
“NACSA, MKN, JPM juga memberikan kesedaran, khidmat nasihat dan bantuan kepada organisasi bagi melaksanakan amalan terbaik danmengendalikan sebarang insiden keselamatan siber yang berlaku,”katanya.-WILAYAHKU