KERAJAAN akan membentuk Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi bagi mendukung komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggerakkan usaha membina semula Gaza di Palestin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha itu antara lain membina sekolah, hospital dan masjid di Gaza yang sebelum ini musnah oleh kekejaman rejim zionis.
“Bagi tujuan itu, di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya akan membentuk dan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, jawatankuasa khas itu akan dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia bagi menggembleng potensi dan ruang komprehensif ke arah mendukung komitmen Perdana Menteri.
Katanya, ia akan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri serta rakan-rakan strategik bagi mempertingkat kerjasama menyeluruh masyarakat dalam pembangunan semula Gaza.
“Marilah bersama-sama berdoa agar segala perancangan yang disusun ini terlaksana dengan jayanya. Semoga Allah memberikan limpahan kesejahteraan dan kekuatan kepada rakyat Palestin menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin akan dijalankan menerusi kerjasama antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Beliau berkata, usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia. – WILAYAHKU