KERAJAAN belum berhasrat untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memandangkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) sedia ada telah difahami peniaga serta rakyat.
Hal demikian kerana cukai berkenaan sudah digunakan lebih 40 tahun dan masih boleh ditambah baik untuk menjana hasil tambahan bagi kerajaan dengan lebih pantas.
Menurut Kementerian Kewangan, ini berbanding langkah memperkenalkan semula GST yang memerlukan tempoh persediaan lebih panjang sama ada di pihak kerajaan mahupun industri.
“Kerajaan akan terus memastikan penambahbaikan sistem cukai sedia ada tidak memberi kesan kepada golongan rentan dengan aspek kesan regresif dikurangkan dan kesan inflasi yang terkawal sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai penggunaan baharu seperti GST,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian Kewangan menjawab soalan Datuk Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula GST.
Kementerian Kewangan menambah, pelaksanaan semula GST perlu mengambil kira kesan kepada setiap lapisan masyarakat.
Katanya, selain itu sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian berasaskan penggunaan akan diteliti untuk memastikan ia bersifat lebih progresif, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi.
Pada masa yang sama jelasnya, ia dapat menjana hasil yang mampan kepada kerajaan.
Kementerian Kewangan memberitahu, kesan fiskal yang lebih pantas dapat dilihat melalui pelaksanaan langkah cukai Belanjawan 2024 pada tahun ini apabila cukai jualan diunjur melonjak sebanyak 5.7 peratus kepada RM19.4 bilion.
Katanya, ia berikutan pelaksanaan cukai barangan bernilai rendah mulai 1 Januari 2024 dan jangkaan jualan kenderaan penumpang yang lebih tinggi.
Tambahnya, cukai perkhidmatan pula dianggar meningkat sebanyak 25.8 peratus kepada RM21.5 bilion seiring dengan kenaikan kadar cukai daripada enam peratus kepada lapan peratus di samping peluasan skop perkhidmatan yang antara lain termasuk perkhidmatan logistik, pembrokeran dan pengunderaitan berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024.
“Selain itu, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 telah digubal bagi mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara.
“Akta ini menekankan prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab meliputi hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang serta risiko fiskal ke arah memastikan keseimbangan antara agenda pembangunan negara dan kemampanan kewangan awam,” katanya.
Menerusi akta tersebut katanya, kerajaan akan meningkatkan langkah mobilisasi hasil termasuk meluaskan asas hasil cukai, menambah baik dan menyemak semula struktur dan perundangan cukai, serta pemberian insentif percukaian.
“Langkah ini akan direalisasikan melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana (Medium Term Revenue Strategy – MTRS) bagi memastikan perancangan cukai jangka sederhana untuk tempoh tiga tahun ke hadapan adalah lebih teratur dan sepadan dengan perbelanjaan,” katanya. – WILAYAHKU