KERAJAAN akan menganjurkan satu lagi perhimpunan solidariti untuk Palestin yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad ini bagi menyatakan pendirian rakyat Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata keputusan mengadakan himpunan yang akan bermula pukul 8 malam itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir dan kerajaan menjemput pelbagai pihak hadir memberi sokongan.
“Rakyat Malaysia dijemput hadir dan kita membuka ruang ini kepada semua pihak untuk bersama memberikan solidariti (dalam isu Palestin).
“InsyaAllah (Perdana Menteri) turun. Kita jemput para senator dan Ahli Dewan Rakyat semua tanpa kira parti untuk hadir dalam himpunan solidariti ini,” katanya dalam sidang medianya di Kementerian Komunikasi.
Fahmi turut berkata himpunan itu diharap memberi signal jelas pendirian rakyat Malaysia tidak berubah dan tetap bersama rakyat Palestin.
Pada 24 Oktober tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin juga telah diadakan di Stadium Axiata Arena bagi menyatakan sokongan kepada negara berdepan serangan rejim Israel.
Pengumuman Fahmi itu menyusul selepas kematian pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dalam serbuan rejim Zionis di kediamannya di Tehran, Iran. – WILAYAHKU