Berita

Kerajaan akan lantik kontraktor baharu siapkan projek RoL

- Diterbit 10 Julai 2024 10:29 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memberikan jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) bagi menyiapkan projek berkenaan susulan kontraktor sebelumnya telah ditamatkan sebelum ini.

Katanya, beliau turut mengikuti laporan-laporan media yang kebanyakannya memaparkan projek RoL sebagai ‘tidak berjaya’ dan ‘tidak akan dapat disiapkan’.

“Saya lebih suka memandang laporan ini daripada sudut positif, kerana saya yakin laporan-laporan media ini sebenarnya adalah manifestasi orang awam yang ingin melihat keindahan sungai dalam bandar melalui projek RoL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Zaliha berkata pihaknya turut merancang untuk melantik semula kontraktor bagi menyiapkan projek yang telah ditamatkan selain membuat penilaian yang lebih terperinci bagi memulakan semula projek tersebut.

“Kontraktor baharu akan dilantik bagi menyambung semula projek pengindahan yang sebelum ini dibatalkan serta membuat penilaian semula projek pra-pelaksanaan berhubung kegagalan menyiapkan projek RoL,” katanya.

Zaliha berkata RoL merupakan projek pemuliharaan sungai di dalam kawasan bandar yang paling kompleks dengan kos tertinggi yang pernah dilaksanakan di Malaysia, iaitu RM4.363 bilion selain pelbagai pengiktirafan yang diterima dan telah mentransformasikan Bandaraya Kuala Lumpur susulan kejayaannya mendapat pelbagai pengiktirafan tempatan dan antarabangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas