KEPUTUSAN pemberian tol percuma pada musim perayaan boleh berubah dan akan diketahui esok.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan pemberhentian tol percuma sempena musim perayaan tahun ini diputuskan pada mesyuarat kabinet tahun lalu.
“Adakah keputusan kabinet boleh berubah? Boleh. Keputusan sama ada dikekalkan atau berubah akan diketahui pada mesyuarat kabinet esok.
“Selalunya mesyuarat kabinet ketika bukan sidang Dewan Rakyat diadakan pada Rabu, tapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru pulang hari ini, jadi kita buat esok.
“Kita tunggu apa keputusan, jika ada keputusan baru Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan umumkan melalui kenyataan media,” kata Ahmad.
Menurut Ahmad Maslan lagi, kerajaan membayar kira-kira RM 38 – 40 juta tol percuma untuk dua hari bagi setiap perayaan.
“Sehari sekitar RM 19 juta – RM 20 juta yang kerajaan bayar kepada konsesi tol.
“Setahun ada lapan hari pembayaran untuk empat perayaan. Dua hari untuk satu perayaan, itu kos yang terlibat,” katanya lagi.
Sebelum ini, Alexander memaklumkan, dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini termasuk bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Perkara itu sudah diputuskan pada mesyuarat kabinet tahun lalu. – WILAYAHKU