Berita

Keputusan permohonan kemasukan ke IPTA, ILKA diumum 28 Jun

- Diterbit 20 Jun 2024 10:58 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma Sesi Akademik 2024/2025 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 28 Jun (Jumaat) depan.

KPT dalam satu kenyataan berkata keputusan boleh disemak mulai hari Jumaat pukul 12 tengah hari hingga 7 Julai pukul 5 petang.

Menurutnya keputusan boleh disemak melalui platform atas talian di https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my; https://jpt.umt.edu.my dan aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.

“Pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai di laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 29 Jun setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” katanya hari ini.

Tambahnya, pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dan Politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 28 Jun, pukul 12 tengah hari sehingga 7 Julai pukul 5 petang.

Jelasnya, rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

“Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas