Berita

Keputusan doktrin GISBH selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja

- Diterbit 23 September 2024 6:29 PM MYT

KEPUTUSAN berkaitan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) hanya akan diketahui selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sebelum keputusan itu diperkenankan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadot serta semua mufti negeri akan bermesyuarat bagi  membincangkan mengenai GISBH bermula esok hingga 26 Sept ini.

“Satu kertas khas yang disediakan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) berkaitan dengan GISBH akan dibentangkan pada jawatankuasa ini esok hingga 26 Sept di Terengganu. Jawatankuasa ini akan memutuskan tentang GISBH,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan perbincangan Jawatankuasa Muzakarah MKI itu akan dibentangkan kepada Pengerusi MKI Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta Timbalan Pengerusi yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja.

“Dalam bulan Oktober ini kita boleh dapat keputusan perkenan …. Kita sudah ambil tindakan cepat untuk bawa kertas itu dalam perbincangan esok,” katanya.

Mengulas mengenai MTHQA ke-64 yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI”, Mohd Na’im berkata 92 peserta dari 71 negara akan menyertai pertandingan itu yang akan diadakan selama lapan hari bermula 5 Okt di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan untuk berangkat dan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada Johan Tilawah dan Johan Hafazan Al-Quran pada 12 Okt pukul 8.55 malam,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas