AKTRES terkenal, Nur Fazura, 41, berkata beliau nekad meneruskan penceraian dengan suami yang juga aktor Fattah Amin, 33, demi maruah dan kesejahteraan hidupnya bersama anak, Nur Fatima Aisya, 4.
Fazura meluahkan isi hatinya itu menerusi Instagram miliknya.
“Pertama kali, Faz ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan, doa yang baik, kata-kata semangat serta bunga dan tanda hati kepada Faz sejak lebih seminggu yang lalu.
“Alhamdulillah dan terima kasih sekli.lagi kepada semua. Keputusan yang telah Faz buat pada 13 September lepas bukanlah sesuatu yang diambil dengan ringan tanpa sebarang pertimbangan dan refleksi yang mendalam tentang masa depan Fatima dan Faz.
“Pada hari ini, Faz kekal nekad untuk meneruskan keputusan Faz sebelum ini demi maruah Faz sebagai wanita dan kesejahteraan Fatima dalam hidup Faz,” katanya.
Dalam masa yang sama, Fazura memohon doa orang ramai agar segala proses perceraian berjalan lancar.
“Mohon doakan Faz dapat menyempurnakan proses ini dengan baik dan lancar.
“Terima kasih sekali lagi atas semua kata-kata semangat, sokongan dan semua doa untuk Fatima dan Faz sekeluarga,” ujarnya.
Terdahulu, Fattah dilapor belum bersetuju untuk melepaskan Fazura semasa sebutan kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada pagi Rabu.
Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baharu pada 7 Oktober ini.
Pasangan pelakon terkenal ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya. – WILAYAHKU