KEPUTUSAN untuk berhijab kira-kira 24 tahun lalu, sekembali daripada menunaikan umrah pernah dipertikaikan.
Namun pelakon disegani, Fauziah Datuk Ahmad Daud, 62, mengambil sikap enggan melayani kata-kata negatif berkenaan, sebaliknya nekad dengan keputusan untuk berhijrah.
Menurut Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy, paling tidak boleh dilupakan apabila ada yang meramalkan dia akan membuka hijab dalam tempoh sebulan hingga setahun.
“Saya terfikir jahat sangat ke saya? Saya tidak pernah merosakkan rumah tangga orang, mahupun menutup periuk nasi orang atau buat benda mengarut hingga mak ayah sakit jantung.
“Mungkin kehidupan Fauziah Ahmad Daud dari awal sudah tertulis begini-begini menyebabkan mereka meragui penghijrahan saya itu.
“Tapi saya berpegang kepada satu, Allah yang mencipta saya tidak langsung menghina saya tetapi kenapa manusia pula sibuk menghukum?
“Itulah yang saya pegang hingga ke hari ini, semoga saya akan terus istiqamah hingga ke akhir nafas,” katanya.
Ogy berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Sayangi Al-Quran : Mencintai dan Menyebarkan Cahaya Al-Quran ke Seluruh Alam di Hotel Grand Barakah, Ampang, baru-baru ini.
Ujar Ogy lagi, dia bersyukur kerana sejak memilih untuk berhijab, belum pernah lagi hatinya berbolak-balik.
Berkongsi mengenai penghijrahan itu, Ogy berkata
hidayah sampai ketika dia berada di depan pintu Kaabah, di akhir Ramadan setelah selesai qiamulai dan bertawaf.
“Sebelum pulang ke hotel, saya melakukan tawaf sunat. Disaat itulah syaa mendapat sesuatu tentang berhijab dan saya menyebut ya, saya lakukan.
“Bila saya mengatakan kata-kata tersebut saya mendapat perasaan ibarat dilahirkan semula,” katanya. – WILAYAHKU