Berita

Kepentingan peranan bandar raya tangani isu iklim

MAIMUNAH ketika sesi panel bertajuk ‘COP29: Breakthrough to Belem—Accelerating Transformation’ sempena Forum Baku Global XII di Azerbaijan.
- Diterbit 24 Mac 2025 2:30 PM MYT
DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif menegaskan bahawa kejayaan menangani isu perubahan iklim memerlukan kombinasi tindakan global dan pelaksanaan di peringkat tempatan.

Berucap dalam sesi panel bertajuk ‘COP29: Breakthrough to Belem—Accelerating Transformation’ sempena Forum Baku Global XII di Azerbaijan, beliau menekankan peranan kritikal bandar dalam agenda iklim dunia.

“Bandar hanya meliputi dua peratus daripada permukaan bumi tetapi menggunakan 70 peratus tenaga dan menghasilkan 70 peratus pelepasan karbon.

“Dengan menjelang tahun 2050, 70 peratus penduduk dunia dijangka tinggal di kawasan bandar. Oleh itu, bandar perlu menjadi sebahagian daripada strategi iklim global,” katanya.

Beliau turut menggariskan cabaran yang dihadapi kerajaan tempatan dalam menangani kesan langsung perubahan iklim seperti banjir, kebakaran hutan dan kekurangan air.

“Kerajaan tempatan dan komuniti bandar berada di barisan hadapan dalam menghadapi impak perubahan iklim. Bandar bukan sekadar menghadapi cabaran ini, tetapi juga boleh menjadi pemacu utama dalam mencari penyelesaian lestari jika disepadukan dengan inisiatif iklim global,” tambahnya.

Forum Baku Global XII, yang telah melabuhkan tirai itu berlangsung dari 13 hingga 15 Mac 2025, dianjurkan oleh Pusat Antarabangsa Nizami Ganjavi dengan tema ‘Memikirkan Semula Tata Dunia: Mengubah Cabaran Menjadi Peluang.’

Forum ini menghimpunkan lebih 300 pemimpin dunia dari lebih 60 negara, termasuk bekas presiden, bekas perdana menteri, pemimpin PBB dan tokoh antarabangsa dalam sektor kerajaan serta perniagaan.

Maimunah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Azerbaijan atas jemputan menyertai forum berprestij ini dan menekankan kepentingan platform tersebut dalam membincangkan isu-isu global.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan Azerbaijan kerana menjemput saya untuk kali kedua ke Forum Global Baku.

“Forum ini merupakan platform yang sangat baik untuk bertukar idea, meneroka perspektif baharu, serta menggerakkan inisiatif global dalam menangani perubahan iklim dan cabaran dunia,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas