MALAYSIA berhasrat untuk memajukan bidang tematik utama seperti hak keamanan, hak pembangunan, perniagaan dan hak asasi manusia, perlindungan alam sekitar serta perubahan iklim menerusi Kepengerusian ASEAN 2025.
Menurut Wisma Putra, ia merupakan sebahagian daripada intipati Sesi Pemukiman dan Mesyuarat Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) yang akan berlangsung esok sehingga 14 Februari ini di Langkawi, Kedah.
Malah menurutnya, Malaysia juga mahu menangani cabaran hak asasi manusia yang mendesak di rantau ini melalui pendekatan ‘ASEAN-led’ dan ‘ASEAN-owned’.
“Selain itu menambah baik rangka kerja institusi AICHR ke arah peralihan menjadi badan yang lebih berorientasikan perlindungan dan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti bagi menambah baik proses serta mekanisme AICHR.
“Malaysia mahu memperkukuh kerjasama AICHR dengan badan sektoral ASEAN dan rakan dialog serta memperkukuh penglibatan dengan organisasi masyarakat sivil, dan meningkatkan inklusiviti melalui dialog dan kolaborasi yang berterusan,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin.
Ini merupakan mesyuarat pertama AICHR di bawah kepimpinan Edmund Bon Tai Soon, wakil Malaysia ke AICHR dan Pengerusi AICHR 2025.
Wisma Putra menambah, antara agenda mesyuarat AICHR adalah hak mangsa dan mereka yang terselamat dari situasi konflik, inisiatif keamanan dan pembangunan keamanan, deklarasi-deklarasi ASEAN yang dicadangkan mengenai hak alam sekitar, pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan dan hak kepada pembangunan.
Katanya, wakil dari semua negara anggota ASEAN akan turut serta, bersama wakil AICHR dari Timor Leste, yang akan hadir sebagai pemerhati.
Sebagai Pengerusi ASEAN dan AICHR bagi 2025 katanya, Malaysia akan membentangkan bidang keutamaan dan hasil utama selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Menjelang mesyuarat ini jelasnya, satu Bengkel Peralihan akan diadakan bagi memastikan kesinambungan penyerahan tugas yang lancar antara beberapa wakil AICHR yang akan tamat perkhidmatan dan wakil AICHR yang baru dilantik.
Malah katanya, bengkel ini akan mengkaji semula inisiatif terdahulu, berkongsi amalan terbaik dan menyelaraskan strategi masa depan.
“Hasil bengkel ini akan membantu memperkayakan perbincangan AICHR dan memperkukuh komitmen ASEAN terhadap kedaulatan undang-undang, demokrasi, hak asasi manusia, kemampanan dan pembangunan inklusif,” katanya. – WILAYAHKU