Berita

Kepengerusian ASEAN 2025: Usaha selesai isu Myanmar

Anwar menerima tukul kayu Pengerusi ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone semasa Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 Oktober tahun lalu.
- Diterbit 7 Februari 2025 3:53 PM MYT

MALAYSIA mencatat sejarah kali kelima menggalas tugas sebagai Pengerusi ASEAN di mana menyaksikan pada tahun ini, Malaysia sekali lagi mengambil alih tanggungjawab Kepengerusian ASEAN dalam era rantau dan global yang amat mencabar.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, dari perspektif sejarah, Kepengerusian ASEAN sebelum ini yang pernah digalas membawa pelbagai cabaran.

Ujar beliau, antaranya usaha pengenalan dan pembentukan Komuniti ASEAN pada tahun 2015.

“Isu pendemokrasian dan ketegangan politik lokal di Myanmar dan kebijaksanaan Malaysia berhadapan dengan krisis ekonomi global selaku Pengerusi ASEAN.

“Tiga isu utama ini merupakan isu-isu yang pernah dihadapi oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN sebelum ini dan pada tahun 2025 Malaysia juga berhadapan dengan isu yang sama tetapi situasi berbeza,” katanya.

Bagaimanapun, Tawfik melihat Malaysia setelah mengambil alih tanggungjawab Kepengerusian ASEAN pada 2025 dengan drastik bertindak untuk menangani isu berkenaan secara berkesan.

Misalnya isu Myanmar, katanya Malaysia telah melantik Tan Sri Othman Hashim sebagai utusan khas Pengerusi ASEAN mengenai isu tersebut.

“Tindakan Malaysia ini memperlihatkan negara tidak mahu lagi dibelenggu dengan isu yang sama dan berusaha menyelesaikan isu Myanmar sebelum menamatkan tugas sebagai Pengerusi ASEAN.

“Sudah semestinya penyelesaian isu Myanmar ini menghantui mana-mana Pengerusi ASEAN kerana masih sukar diselesaikan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, beliau yakin Malaysia mampu menjadi pengerusi pertama ASEAN yang boleh memulih demokrasi dan kestabilan politik di Myanmar memandangkan ia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Anwar berjaya menstabilkan politik dan keamanan politik tempatan hanya dalam tempoh dua tahun selepas Pilihan raya Umum ke-15 (PRU 15) lalu hingga kini.

“Bagi saya, tidak ada perkara mustahil jika Pengerusi ASEAN yang mempunyai pengalaman dan kebijakan dalam menyelesaikan konflik mampu membantu dan mengubah Myanmar ke arah lebih demokrasi dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Tawfik berkata,  beliau melihat Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia telah disambut cepat oleh agensi kerajaan dan rakyat.

Antaranya dengan memperkenalkan inisiatif ASEAN lestari oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) serta komitmen Kementerian Luar Negara untuk menjadikan media sebagai platform berkesan untuk pelbagai inisiatif ASEAN.

“Bagi saya, sejarah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia sebelum ini telah dijadikan pengalaman, panduan dan paling penting sebagai booster kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bermula 2025 ini untuk lebih agresif dan menghasilkan kecemerlangan yang luar biasa sepanjang menggalas tanggungjawab menerajui ASEAN,” katanya.

Terdahulu, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Oktober lalu semasa Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.

Anwar menerima tukul kayu Pengerusi ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone pada majlis itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas