PELANTIKAN sebagai Pengerusi ASEAN 2025 merupakan satu penghargaan luar biasa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, negara-negara anggota juga yakin melihat kejayaan Anwar dalam menstabilkan politik tempatan.
“Ini setelah Malaysia melalui pelbagai fasa tidak menentu sehingga menjejaskan pelbagai aspek seperti kesukaran pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Malah kesungguhan beliau mengenal pasti peluang pelaburan menerusi lawatan kerja ke negara-negara luar dan komitmen pelaburan, persetujuan melabur yang meningkat mendadak merupakan indikator penting yang mempengaruhi negara anggota memilih Malaysia untuk menerajui ASEAN,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia menggalas tugas mencabar sebagai pengerusi dan teraju ASEAN sebagai zon penampan yang boleh meredakan ketegangan hubungan antarabangsa.
Tambahnya Malaysia juga boleh berperanan sebagai pusat pemulihan ekonomi serantau untuk membantu negara-negara jiran dalam ASEAN untuk bangkit selepas COVID 19.
Dalam pada itu, Tawfik berkata, ia menjadikan rantau ASEAN sebagai platform tumpuan pelabur antarabangsa, zon penampan daripada terlibat dengan kuasa besar yang berusaha untuk mencetuskan perang antara Barat dengan Rusia serta sekutu.
Beliau berkata, ini menjadikan ASEAN sebagai ‘Harimau Dunia’ yang disegani dan dihormati oleh pertubuhan dunia lain.
“Malaysia perlu menjadikan ASEAN sebagai tempat pergantungan antarabangsa dalam sektor pertanian misalnya menjadi ‘periuk nasi’ dunia dan menjadi penentu kepada keputusan besar antarabangsa disebabkan kekuatan menghasilkan sumber makanan penduduk dunia,” katanya.
Jelasnya, paling utama ialah penyatuan komitmen negara-negara ahli dalam menentukan core business yang boleh menjadikan nilai dagangan antarabangsa dan menjadi suara pendesak yang dihormati oleh semua pihak.
“Dalam konteks kepimpinan, Malaysia bakal memiliki pendokong yang kuat untuk memperjuangkan isu-isu antarabangsa dan sejagat bagi mendapat penyelesaian drastik oleh pihak berkepentingan.
“Paling utama, Malaysia akan menjadi hab interaksi pelbagai aspek utama seperti ekonomi, pembangunan, pelancongan dan keadilan serantau menerusi ketokohan yang dimiliki Anwar,” katanya.
Tawfik berpandangan ASEAN sedang bangkit apabila Malaysia mengambil alih kepengerusian dengan kelebihan geostrategik dan populasi penduduk yang mempunyai kadar celik huruf yang tinggi.
Beliau berkata, ia seperti Kesatuan Eropah sekali gus berpengaruh besar dalam suara politik dunia.
“Malah diplomasi ASEAN yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri selaku teraju Malaysia yang tidak memihak kepada mana-mana blok kuasa besar dunia memudahkan rundingan, perbincangan dan penghormatan menerusi pendekatan tidak memihak yang berprinsip. – WILAYAHKU