MENJELANG tahun Kepengerusian ASEAN 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memberikan tumpuan terhadap lima perkara utama bagi meningkatkan imej negara sepanjang tahun berkenaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata beliau telah diminta Perdana Menteri untuk menaik taraf khususnya imej ibu negara menerusi lima perkara yang perlu diberi tumpuan sepenuhnya menjelang tahun 2025.
“Antara perkara yang disentuh adalah berkenaan infrastruktur dan saya juga memohon kepada semua untuk bersama dengan DBKL terutamanya mengindahkan bandar raya dari aspek landskap dan penghijauan termasuk 37 buah hotel yang akan terlibat secara terus dengan ASEAN untuk memberikan tumpuan terhadap perkara berkenaan.
“Selain itu, hotel yang lain juga akan turut mendapat limpahan yang sama dan turut diminta memberi sokongan dari segi landskap dan kebersihan hotel serta kawasan sekitar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Khas Datuk Bandar Kuala Lumpur sempena Pencahayaan Bangunan Bandar Raya Kuala Lumpur di ibu negara pada Selasa.
Maimunah berkata Perdana Menteri turut meminta DBKL bekerjasama dengan semua pihak termasuk pemilik bangunan dalam aspek pencahayaan sekali gus menyerlahkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang vibrant.
“Bangunan tersebut merangkumi komersial, residensi selain turut menyeru semua penghuni bangunan untuk turut sama dalam aspek pencahayaan bagi menyerlahkan lagi imej Kuala Lumpur.
“Yang ketiga adalah bahagian infrastruktur dan pihak DBKL sendiri harus memastikan di sekitar ibu kota tidak ada pot hole, permukaan jalan raya mestilah diturap dan menangani isu banjir serta infrastruktur bandar,” katanya.
Beliau memohon kepada semua pihak untuk turut mempromosikan ASEAN dan Kementerian Luar Negeri akan menyediakan peralatan promosi seperti bendera ASEAN yang perlu digunakan untuk mempromosi dan meraikan tahun Kepengerusian ASEAN serta meningkatkan tahap perkhidmatan sedia ada bagi menjulang imej negara.
“Semua pihak perlu meningkatkan perkhidmatan khususnya kepada delegasi antarabangsa, termasuk di bandar-bandar lain yang menjadi tumpuan mesyuarat ASEAN berikutan kira-kira 250 program sepanjang tahun tersebut mendapat perkhidmatan terbaik daripada pemain industri dalam negara,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 50 bangunan telah dinilai di bawah Kategori Pencahayaan bangunan, termasuk kategori Bangunan Bersejarah, Bangunan Teknologi Inovatif, Bangunan Ikonik, Bangunan Hotel dan Pangsapuri Perkhidmatan Bangunan Komersial, Pusat Beli-Belah, Bangunan Institusi dan Bangunan Kerajaan.
Daripada jumlah tersebut, 31 bangunan menerima Anugerah Khas Pencahayaan Datuk Bandar Kuala Lumpur. Menara Berkembar Petronas mengungguli dua kategori iaitu pemenang Kategori Teknologi Inovatif dan Kategori Bangunan Ikonik.
Majlis Anugerah Khas Datuk Bandar ini turut menobatkan beberapa bangunan sebagai pemenang utama mengikut kategori masing-masing.
Antara pemenang kategori Hotel dan Pangsapuri Perkhidmatan, Equatorial Plaza; pemenang kategori Komersial, Pavilion KL; pemenang kategori Pusat Beli-Belah, Sungei Wang Plaza; pemenang kategori Bersejarah; Muzium Negara; pemenang kategori Bangunan Kerajaan, Menara Kerja Raya dan pemenang kategori Institusi, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). – WILAYAHKU